• KPKT Berhasrat Wujudkan Gelanggang Futsal di Setiap Taman Perumahan

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+


    KUANTAN - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhasrat mewujudkan satu gelanggang futsal di setiap taman perumahan di bandar, kata Menterinya Tan Sri Noh Omar.

    Beliau berkata kewujudan gelanggang futsal itu bukan hanya bagi menaikkan semangat warga kota untuk beriadah dan mengamalkan gaya hidup sihat tetapi bagi mengeratkan silaturahim antara penduduk.

    "Saya mahu gelanggang futsal yang akan dibina bukan hanya sekadar gelanggang kosong, tetapi dibuat dengan sebaiknya seperti berbumbung dan ada lampu supaya anak muda juga boleh beriadah pada waktu malam.

    "Gelanggang futsal yang saya anggarkan kosnya RM500,000 sebuah turut boleh dijadikan sebagai gelanggang serbaguna," katanya pada Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Kerajaan Tempatan di sini malam tadi.

    Majlis disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan turut dihadiri Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pengusaha Tempatan Malaysia (ANULAE), Datuk Azih Muda.

    Noh berkata kementeriannya telah meluluskan sembilan projek untuk membina dan menaik taraf gelanggang futsal, gelanggang serbaguna dan padang bernilai RM3.8 juta di Pahang tahun ini berbanding RM2.2 juta tahun lalu.

    Mengenai kejohanan itu, beliau berkata penganjurannya tahun ini merupakan 'kepulangan semula' semula sukan itu selepas kali terakhir diadakan di Terenggganu pada tahun 1995.

    "Saya bercadang supaya kejohanan ini dijadikan sebagai acara tahunan atau sekurang-kurangnya dwitahunan kerana ini merupakan medium mengumpulkan semua wakil PBT dari seluruh negara," katanya.

    Beliau berkata penganjuran semula kejohanan itu adalah cetusan ideanya selepas diberitahu bahawa banyak PBT mengadakan aktiviti sukan tahunan masing-masing mengikut persatuan dan skim perkhidmatan.

    "Sebab itu saya cadang supaya sukan PBT digabungkan kerana membolehkan kita bergerak dengan lebih tersusun dan menyumbang bantuan kepada pihak persatuan," katanya.

    Kejohanan KPKT itu disertai kira-kira 500 anggota PBT dari seluruh negara melibatkan 10 jenis sukan antaranya badminton, ping pong, tenis, futsal, bola jaring, karom, golf dan dart.

    Kejohanan bermula sejak Mac lalu di beberapa lokasi antaranya Keningau, Shah Alam, Teluk Intan dan Kuala Terengganu sebelum berakhir di Kuantan. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " KPKT Berhasrat Wujudkan Gelanggang Futsal di Setiap Taman Perumahan "