• Korea Selatan Suara Hasrat Bida Projek Reaktor Nuklear Di Arab Saudi

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    SEOUL :  Korea Selatan berhasrat membida projek reaktor nuklear di Arab Saudi, selain bersedia untuk berbincang mengenai langkah memperluaskan kerjasama dalam sektor tenaga, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

    Perkara itu, dicapai menerusi mesyuarat dua hala antara Menteri Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan Paik Un-gyu dengan Menteri Perancangan dan Ekonomi Arab Saudi Adel Muhammad Fakeih.

    Pada tahun ini, kerajaan Arab Saudi secara rasmi melancarkan program tenaga boleh diperbaharui, yang merangkumi rancangan untuk membina dua reaktor nuklear pada 2030.

    Tawaran bidaan untuk projek berkenaan dijangka diumumkan pada akhir tahun.

    Korea Selatan melihat projek itu sebagai peluang kedua untuk negara berkenaan terlibat dalam sektor tenaga nuklear di Timur Tengah, selepas memperoleh kontrak pembinaan empat reaktor di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), bernilai US$20 bilion pada 2009.

    Paik berkata, Korea Selatan mempunyai 40 tahun pengalaman serta kepakaran dalam pembangunan dan operasi reaktor nuklear.

    Justeru, Korea Selatan berhasrat berkongsi pengalaman itu dengan terlibat dengan projek di luar negara, katanya.

    Mesyuarat dua hala itu, diadakan selepas delegasi perniagaan Korea Selatan melawat Arab Saudi pada Mei.

    Kedua-dua negara turut membentuk kumpulan kerja bersama untuk membantu Arab Saudi mencapai "Wawasan 2030", yang bertujuan mengurangkan pergantungan kerajaan terhadap minyak dan membangunkan sektor perindustrian lain.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Korea Selatan Suara Hasrat Bida Projek Reaktor Nuklear Di Arab Saudi "