• Korea Selatan, China Bakal Adakan Pertemuan

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+


    SEOUL – Presiden Korea Selatan Moon Jae-in dan Presiden China Xi Jinping akan mengadakan pertemuan pada minggu depan, sebagai langkah pertama ke arah memulihkan hubungan kedua-dua negara yang renggang sejak isu sistem pertahanan anti-peluru berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD).

    Pertemuan kedua-dua pemimpin itu, dijadual berlangsung di luar forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang akan diadakan di Da Nang, Vietnam, kata seorang Pengarah Keselamatan Pejabat Presiden, Nam Gwan-pyo, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap.

    Forum Apec akan berlangsung selama dua hari bermula 7 November.

    Pengumuman mengenai pertemuan tersebut, dibuat selepas kedua-dua negara mengeluarkan kenyataan akhbar bersama, yang berikrar untuk meletakkan semula hubungan Korea Selatan dan China di landasan yang betul.

    Nam berkata,” pertemuan itu boleh dikatakan sebagai langkah pertama untuk melaksanakan matlamat perjanjian”.

    Hubungan Seoul dan Beijing renggang, sejak pentadbiran Presiden Moon memutuskan untuk menggunakan sistem THAAD Amerika Syarikat, susulan siri ujian peluru berpandu oleh Korea Utara.

    Moon dan Xi pertama kali bertemu di Berlin pada Julai, sebelum menghadiri sidang kemuncak Negara-Negara Kumpulan 20 (G20) di Hamburg, Jerman.

    Nam berkata, selain itu, presiden Korea Selatan turut dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang, di luar forum serantau yang dihoskan Persatuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Asia Tenggara di Manila, Filipina dari 12 hingga 14 November. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Korea Selatan, China Bakal Adakan Pertemuan "