• Konsortium Tempatan Bida Projek RM6.5 Bilion India

    Published: Friday, 13 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat konsortium tempatan sedang membida enam pakej pembinaan jalan negeri di Rajasthan, India bernilai RM6.5 bilion yang dijangka diumumkan menjelang akhir tahun ini.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kejayaan dalam bidaan itu bakal melonjakkan kemajuan agenda pengantarabangsaan dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020, yang ketika ini sudah melepasi sasaran bagi tahun ini.

    "Sehingga suku kedua tahun ini, industri pembinaan sudah berjaya mendapatkan 79 projek bernilai RM2.7 bilion, sekali gus melepasi sasaran diletakkan bagi tahun ini iaitu RM2 bilion.

    "Sasaran keseluruhan nilai bagi projek luar negara diperoleh industri pembinaan tempatan adalah RM8 bilion menjelang tahun 2020.

    "Ada beberapa lagi projek yang sedang dalam proses pembidaan menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), namun kami mengharapkan untuk memperoleh projek di India," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat CITP 2016-2020 di sini, hari ini.

    Turut hadir, Pengerusi CIDB, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali; Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad 'Asri Abdul Hamid dan Pengurus Besar Kanan Sektor Dasar Dan Korporat CIDB, Sariah Abdul Karib.

    Fadillah berkata, industri pembinaan berjaya mencapai 96.5 peratus daripada 117 petunjuk prestasi utama (KPI) setakat suku kedua tahun ini yang ditetapkan dalam CITP 2016-2020.

    Daripada jumlah itu, katanya, 88 KPI menepati skor Hijau (Way To Go) dengan pencapaian 90 peratus atau lebih, manakala 10 KPI adalah Kuning (Boleh Diperbaiki) dengan pencapaian antara 60 peratus hingga 90 peratus.

    "Ketika ini, tiada satu pun KPI yang berada pada skor Merah atau kurang 60 peratus daripada sasaran semasa.

    "Ada beberapa isu daripada empat teras utama yang perlu diketengahkan, antaranya pengantarabangsaan membabitkan kemudahan pinjaman kewangan yang perlu dirujuk pada pembuat dasar," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Konsortium Tempatan Bida Projek RM6.5 Bilion India "