• Konon Bawa 'Teh Herba'

    Published: Thursday, 19 October 2017
    A- A+

    Polis menahan dua ahli sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah jenis syabu dan pil Eramin 5 bernilai RM200,000 dalam operasi pada Selasa lalu.

    Dalam serbuan pada 9.20 pagi, dua lelaki berusia 37 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di tempat letak kereta sebuah kondominium di Ipoh.

    Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, hasil pemeriksaan terhadap dua lelaki terbabit dan kereta jenis BMW dinaiki mereka membawa kepada penemuan dua bungkusan dadah dipercayai syabu seberat 2.1 kilogram yang didakwa sebagai teh herba.

    "Polis turut menemui 2,000 pil Eramin 5 dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM200,000.

    "Dua suspek yang ditangkap dipercayai ahli sindiket dadah di Kuala Lumpur, dan polis masih mengesan empat lagi ahli sindiket terbabit untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh, hari ini.

    Katanya, pemeriksaan awal mendapati suspek berasal dari Jinjang, Kuala Lumpur masing-masing mempunyai pelbagai rekod jenayah membabitkan kes dadah serta jenayah.

    "Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    "Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua lelaki terbabit positif dadah jenis syabu," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Konon Bawa 'Teh Herba' "