• Kobe Steel Palsu Data, Pelbagai Industri Jepun Kenal Pasti Kesannya

    Published: Tuesday, 10 October 2017
    A- A+

    TOKYO: Pendedahan pengeluar keluli ketiga terbesar Jepun, Kobe Steel Ltd, memalsukan data beberapa produk aluminium dan tembaga yang dikeluarkannya menyebabkan pelanggan yang terdiri daripada pengilang dan pengeluar negara itu sedang mengenal pasti potensi impak ke atas produk yang dikeluarkan.

    Produknya digunakan sekitar 200 syarikat, termasuk beberapa nama terkenal Jepun.

    Syarikat automotif terkesan daripada pengumuman Kobe Steel itu termasuk Toyota Motor Corp, Honda Motor Co, Nissan Motor Co, Mazda Motor Corp, Subaru Corp dan Mitsubishi Motors Corp.

    Produk Kobe Steel digunakan pada pintu dan bumbung kenderaan Toyota, Nissan, Honda Subaru.

    Mitsubishi Heavy Industries pula menggunakan produk Kobe Steel bagi membuat roket, termasuk roket H-2A yang baharu dilancarkan bagi tujuan navigasi satelit ke dalam orbit.

    Pengeluar mesin IHI Corp berkata, produk syarikat itu turut digunakan dalam enjin jet yang dihasilkannya.

    IHI adalah pembekal enjin yang digunakan pesawat Boeing dan industri aeroangkasa Jepun.

    Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, meminta Kobe Steel menyemak dan memastikan sama ada terdapat impak ke atas keselamatan kepada produk pelanggannya susulan penipuan itu. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Kobe Steel Palsu Data, Pelbagai Industri Jepun Kenal Pasti Kesannya "