• K’jaan Tak Bercadang Beri Subsidi Internet Kelajuan Tinggi

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR — Kerajaan tidak bercadang menggunakan duit rakyat untuk memberi subsidi kepada pembangunan Internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai permintaan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Jika permintaan untuk meningkatkan Internet di sesuatu kawasan, termasuk luar bandar berada pada tahap rendah, maka ekonomi tidak akan seimbang, itu bukan model perniagaan sebenar,” katanya pada Dialog eUsahawan TN50 di sini hari ini.

    Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Rahman Dahlan, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood hari ini
    Hakikatnya, Najib berkata Internet berkelajuan tinggi hanya akan disediakan di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.

    Katanya elemen permintaan dan tawaran sememangnya sentiasa diambil kira kerajaan dalam menambah baik Internet berkelajuan tinggi di seluruh negara.

    “Namun, saya percaya, jurang perbezaan bagi capaian Internet Ini akan dikurangkan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Mengulas mengenai cabaran mendepani jenayah siber, Perdana Menteri berkata jenayah tersebut bukan sahaja berlaku di negara ini, malah turut dikesan di seluruh dunia.

    “Saya diberitahu bahawa jenayah siber ini antara jenayah paling cepat dan pantas ketika ini.

    “Apa yang telah dan sedang dilakukan kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia ialah dari segi aspek teknikal untuk berhadapan dengan jenayah siber ini.

    “Kita juga perlu mempunyai undang-undang yang bersesuaian dan bertepatan dengan situasi terkini, termasuk dari segi elemen pembuktian,” katanya.

    Namun Perdana Menteri berkata usaha itu sahaja tidak mencukupi, dan oleh itu kesedaran yang tinggi dalam kalangan penggunai dalam industri perniagaan dalam talian ini juga sangat dituntut dalam usaha terus mengekang jenayah ini daripada terus berkembang.

    “Kita tidak boleh menghalang teknologi. Itu akan menyebabkan kita ke belakang. Apa yang kita boleh lakukan ialah membina ‘pagar’ yang bersesuaian dengan situasi terkini,” katanya. — BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " K’jaan Tak Bercadang Beri Subsidi Internet Kelajuan Tinggi "