• K’jaan Beku Akaun Keluarga Diraja Qatar

    Published: Sunday, 15 October 2017
    A- A+


    DOHA: Anggota keluarga diraja kontroversi Qatar berkata pihak berkuasa negara itu membekukan akaun banknya berhubung peranan beliau dalam krisis Doha dengan negara jirannya.

    “Kerajaan Qatar membekukan semua akaun bank saya,” kata Sheikh Abdullah bin Ali Al-Thani dalam Twitter.

    Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan dengan Qatar, pada 5 Jun lalu berhubung dakwaan ia menyokong keganasan, tuduhan yang disangkal Doha.

    Ogos lalu, Sheikh Abdullah bertemu Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman untuk menjadi orang tengah merundingkan pembukaan semula sempadan darat bagi membolehkan jemaah Qatar menunaikan Haji.

    Ia adalah pertemuan peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara sejak krisis diplomatik berlaku.

    Doha segera memaklumkan Sheikh Abdullah berada di Arab Saudi bagi misi ‘peribadi’, bukan mewakili kerajaan.

    Sheikh Abdullah ialah anggota keluarga diraja Al-Thani yang menyaksikan pengaruhnya semakin merosot tetapi masih ada hubungan baik.

    “Saya berharap supaya Qatar kembali kepada saudaranya di Teluk kerana tiada pihak lagi yang boleh diharap,” katanya semalam menerusi Twitter.

    Media Teluk melaporkan spekulasi berhubung kemungkinan pembentukan kerajaan Qatar dalam buangan diketuai Sheikh Abdullah. – AFP

    Subjects:

  • No Comment to " K’jaan Beku Akaun Keluarga Diraja Qatar "