• Kim Chol beritahu matanya kabur - Polis

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+


    SHAH ALAM: "Tuan, jalan perlahan, mata saya kabur, saya tidak boleh nampak." Itu yang diberitahu warga Korea Utara, Kim Chol, kepada anggota polis yang membawanya ke klinik Menara KLIA2 selepas mendakwa mukanya disapu sesuatu oleh dua wanita pada 13 Februari lalu.

    Lans Koperal Mohd Zulkarnain Sanudin, 31, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Kim Chol mengadu kepadanya demikian ketika keluar dari lif Aras 2 KLIA2 dua menuju ke klinik yang jaraknya hanya sejauh 50 meter.

    Mohd Zulkarnain berkata, beliau sebelum itu berada Balai Polis di Aras 3 sebelum didatangi Kim Chol dan Airport Care Ambassador, Juliana Idris, meminta pertolongan untuk membawa lelaki itu membuat laporan polis.

    Saksi itu berkata, Kim Chol bagaimanapun memberitahu dia mahu ke klinik terlebih dahulu.

    Katanya, hanya beliau seorang yang membawa Kim Chol dari Aras 3 Balai Pelepasan KLIA2 ke klinik Menara KLIA2 di Aras 2 Balai Ketibaan

    Mohd Zulkarnain yang bertugas sebagai anggota ronda di KLIA2, berkata apabila Kim Chol mengadu matanya kabur dan tidak dapat melihat, beliau kemudian memperlahankan langkah dan membiarkan lelaki itu berjalan di hadapannya menuju ke klinik.

    Saksi itu berkata, apabila sampai di klinik, beliau yang menunggu di luar dapat melihat kakitangan klinik melakukan rawatan kecemasan ke atas mangsa.

    "Saya kemudian masuk ke dalam klinik dan dapati lelaki itu bersandar di kerusi... Selepas itu saya pergi ke balai untuk memberitahu hal itu kepada Pusat Operasi Keselamatan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

    "Selepas itu saya kembali ke klinik menara untuk mendapatkan butir peribadi mangsa dan membuat laporan polis... Butiran itu saya peroleh melalui pasport mangsa yang diberikan oleh pertugas kaunter di klinik.

    "Selepas mendapatkan butir peribadi mangsa, saya kemudian pergi ke balai polis untuk membuat laporan manakala pasport saya serahkan kembali kepada petugas klinik," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Iskandar Ahmad, pada sesi pemeriksaan utama.

    Mohd Zulkarnain berkata demikian dalam perbicaraan terhadap dua wanita warga Indonesia Siti Aishah, 25 dan Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, 45, di Balai Berlepas KLIA2, pada jam 9 pagi, 13 Februari lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding yang bermula pada jam 9.10 pagi tadi, Siti Aishah dan Thi Huong mengaku tidak bersalah membunuh Jong-nam.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung petang ini.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kim Chol beritahu matanya kabur - Polis "