• Khidmat Doktor Gigi Palsu Berisiko - MDA

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan doktor gigi palsu terdedah kepada pelbagai penyakit termasuk jangkitan HIV, Hepatitis B, Hepatitis C dan penyakit bawaan udara seperti tuberculosis (tibi).

    Menurut kenyataan Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA), kekurangan ilmu perubatan dalam kalangan doktor gigi palsu meningkatkan risiko penyakit dan kematian kepada pesakit mereka.

    "Antara kesan negatif daripada perkhidmatan doktor gigi palsu adalah komplikasi yang bukan saja tidak dapat dikawal oleh doktor berkenaan tetapi menjadikannya lebih rumit untuk rawatan susulan, sekali gus meningkatkan kos rawatan.

    "Individu yang terjejas dan ditipu 'pengamal' yang tidak bertanggungjawab ini bukan saja perlu membayar sejumlah wang yang banyak untuk rawatan palsu, mereka juga terpaksa menanggung kesan buruk akibat prosedur yang mungkin meninggalkan kerosakan yang tidak boleh dirawat," menurut kenyataan itu.

    Berikutan itu, MDA menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha meningkatkan kesedaran menerusi pembabitan secara langsung untuk mendidik orang ramai mengenai isu rawatan pergigian palsu.

    Orang ramai dijemput untuk menghadiri ceramah awam yang dijadualkan pada Januari tahun depan sempena Konvensyen Saintifik dan Pameran Perdagangan MDA ke-25.

    Menurut kenyataan itu, MDA bersama beberapa pihak berkepentingan termasuk Persatuan Pengamal Rawatan Pergigian Persendirian Malaysian (MPDPA), Malaysian Association of Oral Maxillofacial Surgeons(MAOMS), Persatuan Endodontik Malaysia (MES), Persatuan Pergigian Estetik Malaysia (MAAD), Persatuan Implan Pergigian Malaysia (MOIA), Malaysian Association for Prosthodontics, Malaysian Association of Paediatric Dentistry (MAP), Malaysian Orthodontic Practitioners Association (MOPA) dan Persatuan Doktor Pergigian Islam Malaysia (IDAM) mengambil maklum kes doktor gigi palsu di negara ini.

    Menurut MDA, profesion pergigian secara keseluruhannya kesal dan sedih dengan tahap kesedaran orang ramai mengenai isu berkenaan berikutan masih ada yang berusaha mendapatkan rawatan penjagaan gigi daripada pengamal tidak berdaftar.

    "Amalan pergigian dikawal selia mengikut Akta Pergigian 1971 (Akta 51) bagi melindungi keselamatan pesakit di negara ini. Orang ramai perlu lebih berhati-hati dan hanya menggunakan perkhidmatan pengamal yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC).

    "Sebarang bentuk prosedur pergigian sepatutnya dijalankan oleh seorang pengamal berdaftar di premis penjagaan kesihatan awam atau di bawah persekitaran klinikal dalam premis yang didaftarkan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) 1998.

    "Orang awam mempunyai hak untuk mendapatkan rawatan pergigian yang selamat di negara ini dan MDA melihat perkara ini secara serius dan akan berterusan untuk menyedarkan masyarakat umum," menurut kenyataan itu.- Berita Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Khidmat Doktor Gigi Palsu Berisiko - MDA "