• 'Ketua tentera Indonesia bebas ke AS'

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    JAKARTA: Ketua tentera Indonesia bebas berkunjung ke Amerika Syarikat (AS), kata kedutaan negara berkenaan selepas Jeneral Gatot Nurmantyo ditahan ketika menaiki penerbangan.

    Jakarta menuntut penjelasan berhubung insiden itu selepas Nurmantyo dilarang menaiki pesawat di sini oleh agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS.

    Gatot dijemput ke Washington oleh Pengerusi Ketua Turus Kakitangan AS, Jeneral Joseph F Dunford, seorang pegawai tentera atasan untuk menghadiri persidangan.

    Pemangku Timbalan Duta AS ke Indonesia, Erin Elizabeth McKee, memberitahu media, tidak timbul isu berhubung lawatan jeneral berkenaan ke AS.

    "Jeneral Gatot boleh melawat AS, tiada sekatan dan penyertaan beliau dialu-alukan dalam persidangan atas jemputan Jeneral Dunford," kata McKee.

    Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata, Duta AS sudah memohon maaf namun tidak memberi penjelasan.

    "Kami masih menuntut satu penjelasan mengapa insiden itu berlaku, kami bersedia menunggu," katanya.

    Gatot tidak dapat menghadiri persidangan itu kecuali penjelasan diterima, kata tentera.

    "Jika berlaku kesilapan, perlu ada permohonan maaf, bukan kepada komander tentera, bukan kepada kerajaan," kata seorang jurucakap tentera Indonesia.

    Sejak dilantik sebagai Ketua Pasukan Bersenjata oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi) pada Julai 2015, Gatot menjadi tumpuan beberapa kontroversi.

    Awal tahun ini, beliau secara tiba-tiba menggantung semua kerjasama tentera dengan Australia dalam pertikaian berhubung bahan mengajar dan dikritik anggota kabinet Jokowi kerana membuat kenyataan umum mengelirukan.

    Beliau akan berundur sebagai ketua tentera menjelang 2018 dan ramai penganalisis percaya, Gatot berhasrat mengintai jawatan presiden. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " 'Ketua tentera Indonesia bebas ke AS' "