• Kesaksamaan pendapatan hasil manfaat ekonomi

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Nisbah pekali Gini Malaysia - yang mengukur kesaksamaan pendapatan - turun daripada 0.441 pada tahun 2009 kepada 0.399 tahun lalu, nisbah paling rendah dalam sejarah negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

    Perdana Menteri berkata, kesaksamaan pendapatan Malaysia tidak pernah lebih baik daripada masa kini dan pencapaian itu adalah hasil usaha kerajaan di bawah pimpinannya memastikan semua rakyat mendapat manfaat daripada ekonomi negara yang semakin meningkat.

    "Kita dapat lihat pengurangan menakjubkan dalam kadar kemiskinan apabila kemiskinan tegar di Malaysia jatuh dari 3.8 peratus pada tahun 2009 kepada hanya 0.4 peratus pada 2016. Di Sabah sahaja, kita berjaya mengurangkan kadar itu daripada 19.7 peratus pada tahun 2009 kepada hanya 2.9 peratus pada tahun lalu.

    "Pendapatan per kapita rakyat juga meningkat daripada RM27,819 pada tahun 2010 kepada RM40,713 pada tahun 2017. Begitu juga, pendapatan median bulanan turut meningkat daripada RM4,585 pada tahun 2014 kepada RM5,288 pada 2016.

    "Kita juga telah melihat peningkatan dalam pendapatan isi rumah golongan B40, yang telah meningkat kepada RM3,000 pada 2016 daripada RM2,629 pada tahun 2014," katanya dalam entri bertajuk 'Ke Arah Malaysia Yang Lebih Kuat dan Berdaya Saing' menerusi blog najibrazak.com, hari ini.

    Najib berkata, beliau juga berusaha untuk bersikap adil kepada semua negeri termasuk yang ditadbir oleh pembangkang.

    Misalnya katanya, kerajaan telah membuat perjanjian penyusunan semula air dengan Pulau Pinang dan Selangor untuk membantu mereka mengurangkan hutang negeri dan menyediakan pembaharuan infrastruktur bekalan air yang diperlukan.

    "Dalam kes Pulau Pinang, pakej penstrukturan semula air pada tahun 2010 membabitkan bantuan kepada kerajaan negeri bagi mengurangkan hutang mereka sebanyak RM655 juta, sambil memberi mereka geran tambahan RM1.2 bilion untuk membesarkan lagi empangan.

    "Ini membolehkan kerajaan negeri DAP bermegah bahawa kononnya mereka telah mengurangkan hutang negeri mereka sebanyak 95 peratus, sedangkan ia sebenarnya disebabkan oleh usaha Kerajaan Persekutuan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kesaksamaan pendapatan hasil manfaat ekonomi "