• Kereta sapu di sempadan: Hanya polis, JPJ ada kuasa sekat

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+


    KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak tiada kuasa mengambil tindakan ke atas kereta sapu atau 'Kijang Sapu' dari Kalimantan, Indonesia, yang beroperasi di Pos Sempadan Tebedu- Entikong, Serian.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata mengikut Seksyen 33 dan 51 Akta LPKP, tindakan ke atas kenderaan pengangkutan tidak berlesen (kereta sapu) adalah di bawah kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Nancy yang bertanggungjawab ke atas LPKP, berkata agensi berkenaan bagaimanapun sentiasa memanjangkan aduan berkaitan kereta sapu dari negara jiran kepada JPJ dan PDRM.

    "LPKP Sarawak sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan terbabit. LPKP Sarawak juga peka dengan rintihan dan aduan pengusaha kereta sewa yang beroperasi di kawasan sempadan Tebedu.

    "Sebagai contoh, isu kereta sapu dari negara jiran dibangkitkan LPKP pada mesyuarat dianjurkan JPJ pada 18 September 2017 untuk tindakan lanjut," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

    Beliau mengulas laporan BH baru-baru ini mengenai kegiatan kereta sapu yang menjejaskan periuk nasi kira-kira 70 pengusaha kereta sewa tempatan.

    Operasi kereta sapu dari negara jiran itu juga dikhuatiri berisiko dari sudut mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal dilaporkan berkata, prosedur standard operasi (SOP) kawalan keluar masuk kenderaan di pos sempadan itu perlu diteliti semula.

    Katanya, ia termasuk kemungkinan wujud elemen negatif membabitkan pegawai dan anggota agensi kawalan sempadan.

    Amer juga dipetik berkata, polis memandang serius kegiatan kereta sapu terbabit kerana ia mengundang masalah lain, terutama dari segi kawalan keselamatan dan kedaulatan negeri, selain ketenteraman awam.

    Pada 16 Oktober lalu, BH mendedahkan kegiatan Kijang Sapu yang masih beroperasi secara berleluasa di Pos Sempadan Tebedu- Entikong walaupun aduan demi aduan disalur kepada agensi bertanggungjawab oleh Persatuan Pengusaha Kereta Sewa Daerah Serian.

    Operasi kereta sapu oleh warga negara jiran itu mampu mengaut untung lumayan sehingga mereka mampu membeli kereta keluaran tempatan secara tunai bagi tujuan operasi, selain licik mahu mengaburi mata pihak berkuasa.

    -BHOnline
  • No Comment to " Kereta sapu di sempadan: Hanya polis, JPJ ada kuasa sekat "