• Kerajaan Tak Campur Pelantikan CEO Proton

    Published: Sunday, 1 October 2017
    A- A+

    KOTA BHARU: Kerajaan tidak campur tangan dalam pelantikan Dr Li Chunrong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd yang baharu.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pelantikan itu dibuat Proton yang yakin dengan kebolehan serta pengalaman Chunrong.

    Katanya, pelantikan CEO adalah urusan perniagaan Proton yang dimiliki DRB-HICOM Bhd.

    Beliau berkata, siapa sahaja dilantik sebagai CEO tidak perlu dijadikan modal atau isu asalkan perniagaan itu diterajui individu terbaik, tidak kira warga asing atau tempatan.

    "Apa yang penting, beliau mampu membawa Proton ke tahap lebih tinggi kerana industri automotif kini semakin mencabar dan global. Sudah tentu Proton perlu diterajui individu terbaik.

    "Chunrong berpengalaman luas lebih 30 tahun. Kita yakin DRB-HICOM mahu memasarkan Proton hingga peringkat ASEAN berbanding pasaran hanya di Malaysia.

    "Hasrat itu boleh direalisasikan Chunrong," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Program Usahawan Jeli di RTC Tunjong, di sini hari ini.

    Chunrong dilantik sebagai CEO susulan peletakan jawatan Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

    Beliau berpengalaman 30 tahun dalam industri automotif dan pernah bekerja dengan jenama automotif utama antarabangsa seperti Honda, Kia dan Dongfeng dalam pelbagai jawatan tertinggi.

    Chunrong bakal bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi Proton membabitkan pengeluaran, pembuatan, operasi, kualiti, penyelidikan dan pembangunan, penjualan serta pemasaran. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Tak Campur Pelantikan CEO Proton "