• Kerajaan Sokong Usaha Baiki Kuil Tertua Di Miri

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+


    MIRI: Kerajaan negeri menyokong usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu memperbaiki kuil tertua di Miri iaitu Tua Pek Kong yang terletak di pusat Bandar sebagai tarikan pelancong ke negeri ini.

    Menurut Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, bangunan tersebut merupakan salah satu daripada struktur lama yang dibangunkan semula oleh Lembaga Amanah Kebajikan Cina Miri (MCCTB) di sini.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, kementerian amat berterima kasih dan memuji usaha MCCTB dalam memelihara bangunan lama dan bersejarah itu seperti Tua Pek Kong tersebut, malah mengindahkannya lagi dengan mengekalkan ukiran lama dan ciri-ciri tradisional kaum Cina.

    “Ia boleh menjadi salah satu tapak bersejarah di Miri kerana ia adalah kuil tertua di sini dan turut menjadi tarikan pelancong terutama dari luar negara dan semakin terkenal.

    “Usaha mengukuhkan semula struktur lama yang ada pada bangunan ini, ditambah dengan struktur baharu iaitu membina pintu gerbang bagi mengindahkannya, yang dilakukan di bawah penyeliaan dan pengurusan MCCTB dengan kos sebanyak RM500,000 diperolehi daripada hasil sumbangan orang ramai khususnya masyarakat Cina Miri,” ujarnya.

    Terdahulu, Lee hadir merasmikan pintu gerbang di kuil berkenaan sempena Pesta Kuih Bulan yang disambut semalam.

    Beliau turut mencadangkan agar pihak pengurusan kuil mengenal pasti struktur masih perlu diperbaiki termasuk pagar dengan menggunakan seni ukiran lama dan tradisi kaum Cina kerana ini adalah salah satu tempat bersejarah yang menjadi tarikan pelancong.

    Sementara itu, sebahagian besar daripada jumlah kos pintu gerbang tersebut, iaitu RM350,000 adalah sumbangan daripada Tan Sri Datuk Paduka Chai Yu Lan.

    Dalam perkembangan lain, katanya, kebebasan beragama dan pesefahaman kaum serta sikap saling menghormati yang tinggi pada rakyat di negeri ini merupakan salah satu kesinambungan budaya lama seperti itu masih kekal dan menjadi simbol sesebuah agama yang dapat dilihat di negeri ini.

    “Di Sarawak khususnya anda boleh menyaksikan kebebasan beragama ini, di mana-mana di negeri ini, anda masih boleh melihat adanya masjid dan surau, gereja serta kuil.

    “Justeru kita harus bersama-sama meneruskan keharmonian ini dan mengekalkan perpaduan, persefahaman agama dan budaya untuk memastikan Sarawak kekal sebagai negeri contoh, khususnya dalam kebebasan beragama dan perpaduan kaum,” tambahnya.

    Oleh kerana itu juga katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak membenarkan sama sekali mana-mana pihak cuba memecahbelahkan perpaduan dan kestabilan sedia ada dan menegah ektremis daripada bertapak di negeri ini. – Sarawakiana
  • No Comment to " Kerajaan Sokong Usaha Baiki Kuil Tertua Di Miri "