• Kerajaan Sasar Selaras Gaji Minimum Swasta

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Kerajaan berusaha merapatkan jurang gaji minimum bagi pekerja sektor swasta di Semenanjung serta Sabah, Sarawak dan Labuan, dan berharap ia mampu diselaraskan kelak.

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata ketika dasar gaji minimum sektor swasta mula dilaksanakan pada 2013, gaji minimum bagi pekerja di Semenanjung adalah RM900, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah RM800.

    Bagaimanapun katanya, jurang RM100 itu berjaya dikurangkan kepada RM80 pada tahun lalu, selepas gaji minimum di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM1,000 manakala Sabah, Sarawak dan Labuan RM920.

    "Pengurangan itu adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha kerajaan memastikan gaji minimum pekerja swasta di negara ini dapat diselaraskan satu hari nanti," katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan anggota Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) di sini.

    Richard berkata, MPGN juga sudah mula menyediakan perancangan untuk mengkaji semula Perintah Gaji Minimum 2016, yang bakal dimuktamadkan pada pertengahan tahun depan.

    "Perkara ini selaras dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang menetapkan perintah berkenaan perlu dikaji semula sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun.

    "Kerajaan juga bersetuju untuk membentuk Kumpulan Penyelidik Gaji dan Gaji Minimum bagi membantu MPGN dan Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) dalam kajian impak yang dijalankan," katanya.

    Beliau berkata, kementeriannya juga menyediakan medium perkongsian mengenai gaji minimum dalam portal Gaji Minimum bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas orang awam, yang akan diambil kira dalam proses kajian semula Perintah Gaji Minimum 2016.

    Pada majlis itu, seramai 25 anggota MPGN menerima watikah pelantikan mereka bagi tempoh 2017 hingga 2020, yang akan dipengerusikan Tan Sri Steve Shim Lip Kiong. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Sasar Selaras Gaji Minimum Swasta "