• Kerajaan lulus bina 10 SJKC

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan meluluskan permohonan pembangunan 10 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) iaitu masing-masing lima di Johor dan Selangor.

    Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pembangunan sekolah itu bagi memenuhi keperluan pendidikan masyarakat Cina dan dibina di kawasan penduduk kaum Cina yang ramai.

    Beliau berkata, selain itu enam SJKC sedia ada juga akan dipindahkan ke lokasi baharu.

    "Bagi 10 SJKC baharu, kementerian berpandangan pelaksanaan sekolah itu perlu berdasarkan keutamaan dan keperluan projek, serta kebolehupayaan ekonomi dan kewangan negara.

    "Sementara perpindahan enam SJKC yang dikenal pasti perlu mengikut prosedur dan syarat yang ditetapkan oleh kementerian termasuk persetujuan ibu bapa dan hal berkaitan urusan perpindahan sekolah," katanya berucap pada Majlis Pengumuman Pembinaan SJKC baharu di sini, hari ini.

    Turut hadir Menteri Pengangkutan merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Menteri Pendidikan II merangkap Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad.

    Sepuluh sekolah baharu adalah SJKC Kuek Ho Yao, Mount Austin; SJKC Sim Mow Yu, Plentong( SJKC Tun H S Lee, Tebrau dan SJKC Tan Kah Kee, Nusajaya di Johor.

    Sementara lima lagi di Selangor iaitu SJKC Lee Loy Seng, Ijok; SJKC Sunsuria dan SJKC Too Joon Hing di Dengkil; SJKC Tun Ong Yoke Lin, Kuala Langat dan SJKC Tun Lim Chong Eu di Puncak Alam.

    Enam SJKC yang dipindahkan ialah SJKC Poay Chai, Singkir, Kedah dipindahkan ke Taman Bukit Indah, Johor; SJKC Poi Min, Gopeng, Perak ke SJKC Poi Min, Puchong Selangor (sudah mendapat kebenaran berpindah); SJKC Aik Hua Taiping, Perak ke SJKC Aik Hua, Kota Seriemas Negeri Sembilan dan SJKC Ladang Regent Gemencheh, Negeri Sembilan ke SJKC Ladang Regent, Bandar Elmina Selangor (Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) akan memgemukakan nama baharu menggambarkan lokaliti sebenar selepas sekolah dipindahkan ke tapak baharu).

    Sekolah lain ialah SJKC Panching Kuantan ke SJKC Panching Kota SAS, Kuantan,Pahang dan SJKC Ladang Grisek, Ledang Johor ke SJKC Ladang Grisek Taman Kota Masai (LPS akan mengemukakan nama baharu menggambarkan lokaliti baharu selepas sekolah dipindahkan ke tapak baharu).

    Mahdzir berkata, ketika ini ada sebanyak 1,298 SJKC di seluruh negara dengan 883 daripadanya berstatus sekolah bantuan kerajaan.

    Katanya, dari jumlah itu, sebanyak 454 adalah sekolah kurang murid (SKM) yang mempunyai enrolmen 150 murid atau kurang (data pada 31 Ogos lalu)

    Sementara itu Tiong Lai berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri yang prihatin dengan permintaan parti komponen bagi penambahan SJKC baharu khususnya di kawasan penduduk berkepadatan tinggi.

    "Kita dah mohon penambahan ini sejak tahun lalu dan akhirnya kerajaan dapat meluluskannya. Kelulusan yang diberikan ini mampu mengurangkan kesesakan murid di sekolah tertentu.

    "Pembinaan SJKC ini akan dilakukan secepat yang mungkin namun secara berperingkat dan kami juga berharap kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri dalam mempercepatkan urusan berkaitan tanah," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan lulus bina 10 SJKC "