• Kerajaan Kongsi Cadangan Rakyat Dalam Pelaksanaan Projek HSR

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Kerajaan meluluskan Skim Keretapi bagi Pelaksanaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang membuka laluan kepada amalan pemeriksaan awam selama tiga bulan bermula 1 November ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia sebagai ruang bagi orang ramai berkongsi maklum balas, cadangan atau membangkitkan sebarang kebimbangan mengenai projek HSR dan jajaran yang dicadangkan.

    "Ruang pameran yang menempatkan maklumat akan diletakkan di lokasi utama di semua negeri terbabit di sepanjang kawasan koridor HSR.

    "Saya menggalakkan orang ramai melawat ruang pameran ini untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai HSR dan berkongsi maklum balas atau kebimbangan anda mengenai projek HSR KL-SG," katanya.

    Beliau berkata, berdasarkan perancangan reka bentuk di tujuh stesen HSR itu nanti, ia bakal menerapkan elemen kepelbagaian budaya dan warisan sebagai melambangkan keunikan Malaysia.

    Katanya, setiap stesen akan membawa reka bentuk tersendiri yang menggariskan tujuh tema utama iaitu MYGateway; MYPeople; MYVision; MYHeritage; MYFuture; MYCulture dan MYEncounter.

    "Dengan Kuala Lumpur sebagai ibu kota, reka bentuk HSR di stesen Bandar Malaysia adalah tafsiran semula pertemuan Sungai Klang dan Gombak - sebagai simbolik penyatuan dari semua lapisan masyarakat.

    "Bagi stesen Bangi-Putrajaya, reka bentuknya merangkumi pengaruh butiran seni bina Islam. Sementara reka bentuk stesen Seremban diilhamkan oleh kemegahan istana kerajaan Sri Menanti dan kehijauan tropika," katanya.

    Najib berkata, bagi stesen HSR Melaka, ia diinspirasikan dari sejarah Melaka sebagai kawasan pelabuhan perdagangan strategik pada zaman kegemilangannya sehingga reka bentuk stesen diambil dari imej kapal dagang.

    Sementara di HSR Muar, reka bentuk rehal al-Quran diketengahkan sebagai melambangkan kepentingan pembelajaran agama, sementara reka bentuk di stesen Batu Pahat, membawa imej kuda kepang.

    "Di stesen terakhir (di Malaysia), ia membawa inspirasi 'berjabat tangan', menandakan peranan Iskandar Puteri (di Johor Baharu) sebagai bandar serantau untuk perdagangan, urusan perniagaan masa depan dan pertemuan dua negara," katanya.

    Najib berkata demikian ketika berucap melancarkan Konsep Rekabentuk Stesen HSR Kuala Lumpur-Singapura di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

    Yang turut sama hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Haron.

    Mengulas lanjut, Najib menjelaskan reka bentuk HSR yang dijangka siap 2026, bukan saja menyerlahkan unsur-unsur yang unik di setiap bandar dikunjungi, malah memberikan keunggulan kepada kreativiti dan inovasi tersendiri. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Kongsi Cadangan Rakyat Dalam Pelaksanaan Projek HSR "