• Kerajaan Belanja RM178.9 Bilion Untuk Kesihatan Berkualiti Sejak 2009 - PM

    Published: Wednesday, 11 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Menyedari kesihatan adalah perkara yang paling berharga di dunia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha serta membelanjakan RM178.9 bilion sejak 2009 bagi terus menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

    Beliau berkata satu daripadanya adalah inisiatif Klinik 1Malaysia, yang diperkenalkan pada 2010 dan telah berkembang sehingga mempunyai 361 cawangan di seluruh negara.

    "Klinik 1Malaysia ditempatkan di lokasi-lokasi strategik seluruh negara, dibuka tujuh hari seminggu dari 10 pagi hingga 10 malam dan menawarkan rawatan ringan pada caj cuma RM1, malah percuma buat warga emas dan orang kelainan upaya.

    "Baru-baru ini juga, saya ada baca perkongsian di media sosial mengenai bagaimana Klinik 1Malaysia menyelamatkan nyawa pesakit akibat alahan kepada lebah, melalui diagnosis tepat keadaan pesakit dan bermacam-macam lagi,"katanya menerusi catatan dalam blog beliau najibrazak.com malam ini.

    Najib berkata tambahan kepada itu, kerajaan turut mengumumkan banyak kemudahan dan fasiliti lain buat rakyat Malaysia seperti membina dan menaik taraf enam buah hospital di Perak, Sarawak, Kelantan, Kedah, dan Sabah.

    Beliau berkata pusat kanser dan pusat jantung juga disediakan di hospital-hospital utama di setiap zon yang memberi rawatan kepada lebih 300,000 pesakit selain kerajaan memperuntuk RM50 juta setiap tahun bagi meringankan kos rawatan hemodialisis yang memanfaatkan 1.5 juta pesakit.

    "Pada masa sama, kerajaan turut melihat kepada penjanaan sektor ekonomi negara dan meningkatkan peluang pekerjaan melalui industri pelancongan kesihatan. Pada 2016, industri ini berjaya menjana pendapatan RM1.12 bilion dan kita menyasarkan ia untuk menjana RM2.8 bilion menjelang 2020 nanti,"kata beliau.

    Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia mempunyai banyak kelebihan bagi pelancongan kesihatan, yang termasuk kepakaran doktor-doktor yang disifatkan antara terbaik di dunia, perkhidmatan kesihatan yang bukan sahaja lebih berkualiti tetapi juga jauh lebih murah.

    "Contohnya, pembedahan pintasan jantung di Amerika Syarikat menelan belanja di antara US$70,000 hingga US$200,000 tetapi di Malaysia harga puratanya sekadar US$9,000,"kata perdana menteri.

    Beliau berkata kesemua insiatif itu telah membawa Malaysia untuk dinobatkan sebagai Destinasi Pelancongan Kesihatan dan Perubatan Terbaik dunia selama tiga tahun berturut-turut.

    N ajib berkata bagi perkhidmatan kesihatan dalam negara, kerajaan sentiasa melakukan pemantauan, penyelenggaraan dan penambahbaikan bukan sahaja terhadap infrastruktur dan bangunan, malah juga kepada tahap dan kualiti kehidupan kakitangan yang bertugas dalam bidang kesihatan.

    "Insya-Allah, kesemua ini akan diberi perhatian serius dan dipertimbangkan secara mendalam oleh Kerajaan agar rakyat Malaysia akan dapat terus menikmati penjagaan kesihatan berkualiti di mana jua mereka berada,"kata beliau. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Belanja RM178.9 Bilion Untuk Kesihatan Berkualiti Sejak 2009 - PM "