• Kerajaan Ambil Inisiatif Drastik Keluarkan Rakyat Daripada Kemiskinan

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+


    SIBU: Kerajaan negeri mengambil inisiatif drastik untuk mengeluarkan rakyat Sarawak daripada kepompong kemiskinan.

    Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pelbagai program memesatkan peningkatan pendapatan serta mengurangkan jurang pendapatan disusun dan dilaksanakan.

    Katanya, kerajaan mewujudkan Pelan Tranformasi Sosioekonomi, Transformasi Luar Bandar dan Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan.

    “Dalam usaha mentransformasikan sosioekonomi, kerajaan mengambil langkah melalui Jabatan Pertanian Sarawak melaksana beberapa program seperti ‘Low Hanging Fruit’.

    “Antaranya mewujudkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC),” katanya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya lagi, IAT sangat penting dan perlu melonjakkan aktiviti agar industri hiliran pertanian di Sarawak sentiasa segar dan berkembang dengan pesat.

    “Justeru, kita perlu memperkukuh kapasiti keupayaan mematuhi piawaian keselamatan makanan dan kualiti (piawaian) antarabangsa supaya pengeluaran makanan berasaskan pertanian dapat menerokai pasaran negara maju,” jelasnya.

    Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah memberitahu kerajaan negeri melihat perniagaan menggunakan aplikasi digital amat penting bagi memastikan produk dapat menembusi pasaran dengan lebih cepat.

    Oleh itu, Jabatan Pertanian sedang dan akan mengadakan kursus selaras dengan wawasan ekonomi digital dan e-dagang.

    “Dengan pendekatan ke arah ekonomi digital, saya percaya negeri kita dapat menghasilkan usahawan berpandangan jauh dan bertaraf global.

    “Ini kerana melalui aplikasi digital, usahawan dapat memperkenalkan produk mereka malah berhubung dengan usahawan-usahawan lain menghasilkan produk sama serta berkongsi ilmu meningkatkan kualiti dan produk,” katanya.

    Bagi merealisasikan Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan, Uggah mahu Jabatan Pertanian membangunkan budaya kerja organisasi mengutamakan prestasi cemerlang dan tingkah laku beretika serta bermoral tinggi.

    “Saya menyeru kepada warga kerja Jabatan Pertanian Sarawak supaya meningkatkan keakraban, kerjasama dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan,” katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Kerajaan Ambil Inisiatif Drastik Keluarkan Rakyat Daripada Kemiskinan "