• Kempen Dadah Duterte Sasar 'Ikan Besar'

    Published: Friday, 13 October 2017
    A- A+

    MANILA: Kempen memerangi dadah yang dilancarkan Presiden Rodrigo Duterte masuk ke fasa seterusnya dengan menyasarkan ‘ikan besar’, kata pegawai semalam.

    Kata pegawai itu, kempen itu kini beralih daripada operasi di jalanan kepada operasi memburu rangkaian dan pengedar yang lebih besar.

    Duterte pada Selasa lalu mengarahkan polis menghentikan semua aktiviti kempen antidadah dan menyerahkan semua operasi kepada Agensi Penguat Kuasa Dadah Filipina (PDEA).

    Susulan arahan itu, polis membubarkan semua unit antidadah di 18 wilayah di negara itu bagi membolehkan mereka menumpukan usaha memerangi jenayah lain.

    “Kami kini menyasarkan pengedar lebih tinggi dalam sindiket dadah dan juga pelindung mereka dalam kerajaan,” kata jurucakap presiden, Ernesto Abella.

    Katanya, rangkaian pengedar jalanan bagi sindiket dadah sudah dilumpuhkan dalam kejayaan operasi polis selama 15 bulan itu.

    Kempen memerangi dadah yang dilancarkan Duterte itu dikritik banyak pihak selepas ribuan suspek mati ditembak polis.

    Aktivis hak asasi manusia mendakwa polis menjalankan pembunuhan tanpa bicara dengan menembak mati suspek dadah yang sudah dikenal pasti.

    Bagaimanapun, polis mendakwa kebanyakan suspek yang ditembak mati itu adalah bersenjata dan cuba melawan ketika ditangkap.

    Sementara itu, beberapa senator berkata, mereka masih sangsi dengan operasi itu walaupun polis tidak mengetuainya lagi.

    “Menukar pengawal adalah tidak mencukupi. Duterte mesti berhenti dan menamatkan kempen ini,” kata Senator Risa Hontiveros.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Kempen Dadah Duterte Sasar 'Ikan Besar' "