• Kementerian Tunggu Laporan Penuh 11 Tabika Usang Di Sarawak

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+


    KUCHING  : Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak masih menunggu laporan penuh daripada pihak perunding mengenai 11 tabika usang di negeri ini, yang akan dikemukakan kepada Pejabat Ketua Menteri pada akhir bulan ini.

    Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pihaknya masih menunggu laporan lengkap berhubung keadaan dan jumlah kos membina semula 11 tabika tersebut yang di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS)

    “Kita telah memberi saranan kepada kerajaan negeri bahawa kerajaan pusat perlu membina bangunan baharu bagi 11 tabika yang usang ini terlebih dahulu, kerana sudah mempunyai tapak untuk bangunan baharu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Taska 2017 di sini semalam.

    Fatimah berkata terdapat keperluan membina bangunan baharu tabika berkenaan bagi menyediakan tempat pembelajaran yang kondusif serta selamat kepada kanak-kanak.

    Pada masa sama, beliau berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada KEMAS untuk menitikberatkan soal keselamatan kerana kementerian berkenaan tidak akan berkompromi berhubung perkara tersebut walaupun tadika berkenaan usang.

    Fatimah berkata kebanyakan tabika yang usang itu adalah di kawasan luar bandar, dan KEMAS tidak boleh menantikan bangunan sempurna untuk jabatan berkenaan menyediakan pendidikan awal kepada kanak-kanak.

    “Jika mereka menunggu, maka kanak-kanak ini akan terlepas peluang mendapatkan pendidikan awal. Justeru, dengan bantuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, mereka membuat keputusan menggunakan mana-mana bangunan dan tempat yang ada, sama ada di dewan komuniti atau di ‘ruai’ (beranda) rumah panjang untuk dijadikan tabika," katanya.

    Beliau berkata masyarakat perlu memahami tujuan KEMAS membuat keputusan tersebut adalah bagi memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan awal yang sempurna.

    Sebelas tabika berkenaan adalah Tabika RH Serit Kapit; Tabika RH Pillai Kapit; Tabika RH Tunjang Sungai Lelabi Sarikei; Tabika Selangan Sarikei; Tabika RH Jamba Kapit; Tabika Kampung Sagah Petra Jaya; Tabika Sungai Malikat Marudi; Tabika Manok Machal Kapit; Tabika Kampung Ampungan, Puncak Borneo; Tabika Kampung Banting Lawas dan Tabika Kampung Sungai Tapang Stampin.

    Dalam pada itu, Fatimah berkata ibu bapa seharusnya membiarkan anak-anak mereka bermain sambil belajar, dan jangan memaksa mereka membaca dan menulis semasa kanak-kanak berkenaan berada di taman asuhan kanak-kanak tersebut.

    Beliau berkata ibu bapa kadang kala memandang remeh manfaat melakukan aktiviti bermain itu, dan kurang menyedari bahawa anak-anak mereka sebenarnya boleh belajar perkara-perkara baharu, malah dapat mengamalkan nilai-nilai baik, serta menggalakkan tumbesaran otot kanak-kanak berkenaan. — Bernama
  • No Comment to " Kementerian Tunggu Laporan Penuh 11 Tabika Usang Di Sarawak "