• Kementerian Kesihatan tidak terbabit

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+

    GEORGETOWN: Kementerian Kesihatan menafikan memberi sokongan terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan pendakap gigi palsu, seperti yang didakwa pihak tertentu.

    Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata pihaknya dan mana-mana anggota pentadbiran tidak pernah menyokong atau bertolak ansur dengan individu yang melanggar peraturan negara.

    "Tidak. Saya tidak kenal wanita itu secara peribadi dan tidak mempunyai wang yang banyak untuk membantu menjamin beliau daripada kesalahannya.

    "Namun, saya mengakui sebelum ini ada wakil daripada wanita itu datang untuk memohon bantuan saya, tetapi saya tidak mencampuri urusannya apabila kes ini sudah dibawa ke mahkamah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Psikologi Kaunseling peringkat negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

    Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang wanita dijatuhkan hukuman denda RM70,000 pada 29 September lalu, mendakwa perniagaannya mendapat sokongan dari Kementerian Kesihatan.

    Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, yang sepatutnya menjalani hukuman penjara enam bulan kerana gagal membayar denda itu, memuat naik ucapan penghargaan kepada Dr Hilmi dan pihak kementerian, sebaik pembebasannya kelmarin.

    Nur Farhanis yang berasal dari Alor Setar, Kedah, dibebaskan dengan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Penggiat Ekonomi Malaysia (PPEM) melalui kutipan derma orang ramai. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kementerian Kesihatan tidak terbabit "