• Kembar Dicekup Jual Pil Khayal

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+

    SIBU: Pasangan kembar antara empat individu ditahan selepas dipercayai mendalangi kegiatan pengedaran pil khayal yang menyasarkan kampung di sekitar bandar ini semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zailanni Amit, berkata adik beradik kembar lelaki berusia 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di Jalan Barieng, di sini kira-kira jam 6.30 petang semalam, bersama-sama dua lagi individu dipercayai rangkaian pengedaran mereka.

    Beliau berkata, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu menyerbu sebuah rumah dipercayai dijadikan pusat pembungkusan dadah.

    "Hasil serbuan membawa kepada penahanan empat individu berusia antara 26 hingga 35 tahun dipercayai anggota sindiket pengedaran pil khayal yang bergerak aktif di Sibu dan sekitarnya.

    "Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemui 22 paket lut sinar, dengan setiap satu 10 biji pil khayal dalam poket seluar seorang suspek. Kita tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dalam proses penghantaran bekalan dadah itu ke rangkaian pengedaran mereka," katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

    Zailanni ketika mengulas lanjut, pihaknya turut menemui 1,400 biji pil khayal disembunyi dalam botol plastik di rumah berkenaan yang dipercayai untuk stok sindiket berkenaan.

    "Dalam soal siasat dijalankan, seorang suspek mengakui pil dirampas untuk diedarkan di beberapa kampung sekitar Sibu, termasuk Kampung Hilir, Kampung Dato, dan Kampung Bandung.

    "Kita percaya serbuan ini berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran pil khayal yang bertumpu di kampung di bandar ini dan menyasarkan golongan remaja serta belia," katanya.

    Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Zailanni berkata, pil berkenaan dihantar untuk ujian makmal bagi mengenal pasti jenisnya, namun berdasarkan maklumat awal yang diterima, ia dari jenis pil psikotropik, khusus bagi merawat tekanan perasaan.

    Katanya, pil berkenaan boleh memberi kesan khayal melampau jika pengambilannya dilakukan secara berlebihan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kembar Dicekup Jual Pil Khayal "