• Kematian Ketua Abu Sayyaf Diharap Tamatkan Penculikan

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+


    TAWAU - Kejayaan pihak keselamatan Filipina menembak mati ketua kumpulan Abu Sayyaf (ASG), Isnilon Hapilon dalam pertempuran terbaharu di Marawi, selatan Filipina adalah satu perkembangan positif yang diharap dapat menamatkan insiden penculikan khasnya di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

    Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata ia juga diharap dapat mengembalikan suasana aman di perairan Laut Sulu, sekali gus membolehkan semua aktiviti ekonomi berjalan seperti sebelum ini.

    Pada masa sama, beliau meminta Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) memperketat kawalan di sepanjang sempadan perairan Malaysia-Filipina kerana khuatir kumpulan serpihan ASG akan melarikan diri ke Sabah untuk mengelak diburu pihak berkuasa Filipina.

    "Mereka mungkin akan menyamar sebagai nelayan, pedagang atau pelancong untuk menyusup masuk ke Sabah dan keadaan ini harus diberikan perhatian semaksimum mungkin agar tahap keselamatan di Sabah boleh dikekalkan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

    Beliau turut menggesa rakyat Sabah membantu pihak Esscom dengan menyampaikan sebarang maklumat berkaitan kehadiran individu mencurigakan di kawasan masing-masing supaya tindakan pantas dan sewajarnya boleh diambil.

    Portal berita The Phillipine Inquirer.Net hari ini melaporkan Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana mengesahkan Isnilon dan pemimpin Kumpulan Pengganas Maute, Omar Mauter terbunuh dalam pertempuran dengan anggota tentera Filipina di Marawi, selatan Filipina.

    Sementara itu, Mohd Zaki berkata rakyat Sabah berterima kasih kepada kerajaan pusat khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang terus memberikan tumpuan kepada usaha menjaga keselamatan dan kedaulatan negara khasnya di kawasan pantai timur Sabah. – Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Kematian Ketua Abu Sayyaf Diharap Tamatkan Penculikan "