• Keluasan Kawasan Projek Jantung Borneo Ditambah

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    KUCHING: Kerajaan negeri telah bersetuju menambah keluasan kawasan untuk diisytiharkan sebagai sebahagian daripada Projek Jantung Borneo atau Heart of Borneo (HoB).

    Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, peningkatan daripada 2.1 juta hektar kepada 2.5 juta hektar sebagai bukti Sarawak komited dalam mengurus dan memelihara ekosistem di kawasan HoB.

    "Sarawak adalah sebahagian daripada kawasan yang terbesar dalam projek HoB iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan projek dengan yang terbesar adalah Kalimantan, Indonesia.

    "Projek HoB adalah penting kepada masyarakat di Borneo dan dalam konteks Sarawak, kita komited untuk memelihara khazanah serta ekosistem ini bermula dari kepimpinan dua Ketua Menteri kita sebelum ini iaitu Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem," katanya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Abang Johari berkata dengan penambahan sebanyak 450,000 hektar, Sarawak kini mempunyai 2.5 juta hektar kawasan HoB yang meliputi kawasan sehingga Tanjung Datu yang meliputi Taman Negara Gunung Gading, Taman Negara Gunung Pueh, Taman Negara Tanjong Datu, Santuari Hidupan Liar Samumsam dan khazanah lain dalam kawasan tersebut.

    Projek HoB katanya merupakan salah satu komitmen daripada tiga negara (Malaysia, Brunei dan Indonesia) untuk mempertahankan kehijauan dan biodiversiti khususnya di kawasan persempadanan Kepulauan Borneo.

    "Saya akan meneruskan polisi tetapi dengan sedikit penambahan di mana kita mahu memperkenalkan sistem analitik data dalam pengurusan hutan kita seperti yang digunakan di Estonia," ujar beliau.

    Sehubungan dengan itu, katanya Sarawak kini sedang mengambil pakar dar negara seperti Finland untuk membantu negeri ini menilai pengurusan hutan. -Sarawakiana
  • No Comment to " Keluasan Kawasan Projek Jantung Borneo Ditambah "