• Kelibat Buaya Tembaga Meresahkan Pekebun

    Published: Wednesday, 18 October 2017
    A- A+


    CHUKAI: Kelibat seekor buaya tembaga yang berjemur di kawasan tebing tali air meresahkan pekebun buah-buahan di simpang tiga Kampung Paman, dekat sini sejak seminggu lalu.

    Pekebun, Che Ku Maznah Che Engku Awang, berkata dia nampak buaya tembaga itu timbul di tali air selepas pulang dari kebun buah-buahannya kira-kira jam 6.30 petang, Jumaat lalu.

    Katanya, sebelum itu, dia ada menerima maklumat yang viral di media sosial berkenaan buaya tembaga di situ tetapi tidak mempercayainya.

    "Bagaimanapun, pada Jumaat lalu, ketika dalam perjalanan balik dari kebun, saya singgah di kawasan yang dikatakan sebelum ini dan terkejut melihat seekor buaya sepanjang tiga meter berjemur di lokasi berkenaan.

    "Buaya itu timbul di permukaan air selama lebih dua minit sebelum naik ke darat dan berjemur," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

    Che Ku Maznah berkata, reptilia itu dipercayai memasuki tali air yang baharu sahaja digali dari kawasan Sungai Pinang.

    "Saya dan pekebun lain di situ sangat bimbang untuk melakukan kerja di kebun kerana khuatir buaya itu boleh berenang masuk ke alur sungai yang berhampiran kebun kami, " katanya.

    Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam Abdul Rahman, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Haiwan Liar (PERHILITAN) untuk menangkap buaya tembaga terbabit bagi mengelakkan risiko kepada penduduk setempat.

    "Kami sedang menunggu maklum balas daripada pihak PERHILITAN untuk menjalankan operasi mengesan dan menangkap haiwan berkenaan, ia adalah satu kes terpencil dan kemungkinan haiwan itu sesat," katanya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Kelibat Buaya Tembaga Meresahkan Pekebun "