• KDN warta larangan 22 penerbitan

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap 22 penerbitan masing-masing bertarikh 28 September dan 3 Oktober lalu.

    Perintah larangan itu merangkumi penerbitan naskhah Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan; Wacana Pemikiran Reformis Jilid 1 dan 2; Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi; Sekitar Masalah Tariqat (naqshabandiyah) dan Meniti Jalan Hidayah: Menuju Toriqah Khotmul-Auliya.

    Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata perintah larangan terhadap bahan bacaan itu dilaksana mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

    Sehubungan itu, katanya, sebarang pencetakan, pengimportan, penghasilan, penerbitan, penghasilan semula, penjualan, pengeluaran, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan terbabit adalah dilarang secara mutlak di negara ini.

    "Semua penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana mempunyai kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang-undang, memudaratkan moral dan kepentingan awam.

    "Selain itu, 22 penerbitan ini dikhuatiri berupaya mengelirukan pembaca, terutama generasi muda," katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Alwi berkata, pelaksanaan larangan terhadap segelintir penerbitan itu turut berpunca daripada isu terjemahan al-Quran tanpa teks asal ayat suci berkenaan.

    Katanya, penterjemahan dalam bahasa lain wajib dilakukan mengikut ayat asal al-Quran bagi menjamin aspek ketepatan, selain dilaksana berdasarkan kaedah bahasa Arab yang menggariskan peraturan tertentu.

    "Mana-mana individu atau syarikat penerbitan yang dikesan melanggar perintah larangan ini dan disabitkan bersalah boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya seperti ditetapkan mengikut Seksyen 8(2) Akta 301.

    "Orang awam yang mengesyaki sebarang penerbitan melanggar undang-undang boleh membuat aduan kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN di talian 03-88868047 atau faks 03-88891682 atau melalui sistem pengaduan awam bersepadu KDN di laman web moha.spab.gov.my," katanya.

    Senarai tajuk penerbitan yang dilarang:

    1. Terjemahan Al- Qur'an.

    2. Al- Qur'an Translation.

    3. The Meaning of The Glorious Qur'an Korean Edition

    4. The Meaning of The Holy Quran (Chinese Translation Edition)

    5. The Meaning of Al- Qur'an (The Guidance for Mankind)

    6. The Quran Modern English Translation (640 muka surat)

    7. Terjemahan Al-Quran Bahasa Melayu

    8. The Quran Modern English Translation (431 muka surat).

    9. Terjemahan Al Quran Bahasa Melayu.

    10. Translation of The Quran
    - 1 hingga 10 merangkumi terjemahan ayat Al-Quran dalam Bahasa Melayu/Bahasa Inggeris/Bahasa Cina/Bahasa Korea tanpa ayat asal al-Quran dalam Bahasa Arab. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-110 memutuskan bahawa 'Tidak harus menerbitkan dan mengedarkan Terjemahan Al-Quran tanpa teks Asal AlQuran'.

    11. Tantra: The Search For Ecstacy - Isi kandungan memuatkan lukisan dan arca posisi persetubuhan keterlaluan yang dilihat bertentangan dengan nilai-nilai murni dan tatasusila masyarakat Malaysia.

    12. Aku ___, Maka Aku Ada! - Mengandungi fakta yang mengelirukan yang menjurus kepada fahaman Syiah dan liberalisme yang dikhuatiri memesongkan akidah umat Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    13. Sekitar Masalah Tariqat (naqsyabandiyah) - Isi kandungan mengandungi amalan ilmu tasawuf yang diselewengkan dan jelas bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    14. Meniti Jalan Hidayah: Menuju Toriqah Khotmul - Auliya

    15. Islam dan Iman: Aturan-Aturan Pokok - Mengandungi unsur-unsur yang mengelirukan umat Islam dan menyalahi syariah yang ditetapkan di dalam Al-Quran dan Al-Hadith.

    16. Islam Kemodernan Dan Keindonesiaan

    17. Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan - Isi kandungan mempromosikan idea liberalisme, fakta dikupas menggunakan logik akal, mengandungi unsur-unsur penghinaan terhadap agama Islam dan jelas menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

    18. Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty

    19. Wacana Pemikiran Reformis (Jilid I)

    20. Wacana Pemikiran Reformis (Jilid II)

    21. Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi

    22. Sapuman: Man of Steal Memuatkan karikatur yang mungkin memudaratkan kepentingan negara.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " KDN warta larangan 22 penerbitan "