• KBS Sokong Usaha Bina Sekolah Sukan Di Sarawak

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+


    KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong usaha Sarawak membina sekolah sukan yang pertama di negeri ini.

    Menurut Menterinya Khairy Jamaludin, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengenai usaha kerajaan negeri yang disifatkannya sebagai menarik.

    “Saya telah berbincang dengan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai perkara ini. Ini (sekolah sukan) di bawah Kementerian Pendidikan dan saya akan bincangkan perkara ini secara lanjut dengan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    “Bagi saya, cadangan kerajaan negeri sangat menarik, tidak perlu membina sekolah baharu sebab sudah ada sekolah terletak bersebelahan dengan Kompleks Sukan Negeri iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Baru yang boleh ditukar menjadi sekolah sukan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri ‘Randau TN50 Begulai Sejalai’ bersama kumpulan belia pelbagai etnik di Sarawak di Dewan Legenda Kampung Budaya Sarawak di sini, semalam.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Khairy memberitahu beberapa kemudahan seperti asrama perlu dibina di SMK Demak Baru untuk menjadikannya sekolah berasrama kerana sekolah sukan bersifat sedemikian.

    Pada masa sama katanya, kurikulum sekolah perlu mengikut kurikulum Sekolah Sukan Malaysia selain mendapat sokongan sains sukan daripada KPM dan KBS.

    “Saya percaya jika semua ini dapat dilakukan, pembukaan sekolah sukan Malaysia pertama di Sarawak akan menjadi kenyataan. Tetapi biar saya membincangkan perkara ini dengan Menteri Pendidikan terlebih dahulu,” ujarnya.

    Baru-baru ini Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mahu pembinaan sekolah sukan di Sarawak menjadi kenyataan.

    Ini kerana beliau percaya pembinaan sekolah itu nanti akan membantu melahirkan atlet-atlet berkualiti tinggi dan dalam jangka masa panjang boleh menjadikan Sarawak kuasa sukan di Malaysia. – Sarawakiana
  • No Comment to " KBS Sokong Usaha Bina Sekolah Sukan Di Sarawak "