• Kawasan Seberang Hilir Memerlukan Klinik Kesihatan Lebih Besar

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    KUCHING: Kawasan Seberang Hilir memerlukan sebuah klinik kesihatan lebih besar dan dilengkapi kemudahan terkini bagi menampung keperluan kesihatan penduduk sekitar yang semakin bertambah.

    Sehubungan itu, Menteri Muda Utiliti, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pembinaan baharu Klinik Ibu dan Kanak-Kanak di Kampung Bintawa Hillir dilihat sebagai langkah terbaik memenuhi keperluan penduduk dari semasa ke semasa.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, pada masa sekarang klinik tersebut menerima 60 hingga 100 pesakit setiap hari.

    "Keadaan klinik yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung pesakit yang datang. Selain menyediakan perkhidmatan untuk ibu dan anak, klinik ini turut menempat dua pegawai kesihatan.


    "Klinik ini menjadi tumpuan orang ramai terutama golongan ibu di kawasan Seberang Hilir. Memandangkan keperluan dan ruang klinik sedia ada tidak mencukupi, kerajaan memutuskan untuk membina bangunan baharu untuk klinik ini di tapak baharu," katanya.

    Mengulas mengenai pembinaan klinik baharu tersebut, Dr Abdul Rahman berkata, pembinaan pada masa ini berada pada peringkat awal.

    "Dengan adanya bangunan baharu ini nanti, ia akan memudahkan pengurusan masyarakat yang memerlukan perkhidmatan perubatan," ujarnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Kawasan Seberang Hilir Memerlukan Klinik Kesihatan Lebih Besar "