• Kane Idam Seiring Ronaldo

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    MADRID: Harry Kane mengakui dia mengekori statistik menakjubkan Cristiano Ronaldo dalam usahanya mengejar status pemain terbaik dunia tetapi setakat ini, peledak Portugal itu tercicir di belakangnya dalam pemburuan peledak terbaik Liga Juara-Juara.

    Inspirasi Kane mengubah Tottenham Hotspur yang gagal di gelanggang Eropah musim lalu kepada permulaan cemerlang dengan lima daripada enam gol Spurs dalam kempen elit itu.

    Ia termasuklah jaringan ketika kemenangan ke atas Borussia Dortmund dan APOEL Nicosia.

    Kali ini, ujian getir bagi Kane dan rakan sepasukannya ialah pertembungan di Santiago Bernabeu apabila dijadualkan bertemu penyandang juara Real Madrid, awal pagi Rabu ini.

    Real turut mencatat dua kemenangan ke atas Dortmund dan APOEL tetapi tonggaknya, Ronaldo hanya menjaringkan empat gol.

    Jumlah gol yang dijaringkan kedua-dua pemain itu jelas cukup baik dan mencetus perbandingan yang sebelum ini hanya dicapai oleh Ronaldo dan Lionel Messi.

    Selain itu, 13 gol yang dijaringkan Kane sepanjang September juga menyamai jumlah jaringan dalam tempoh sebulan yang dilakukan oleh Messi atau Ronaldo.

    “Saya mahu menjadi pemain terbaik di dunia. Jadi, apabila orang mengatakannya dan saya sendiri melihat saya semakin menghampiri kelompok pemain ini, ia adalah insentif yang hebat untuk mendekatkan diri dan melangkah ke tahap seterusnya,” kata Kane.

    Di usia 24 tahun, Kane memiliki kelebihan masa, tetapi apa yang lebih utama bukan saja mengejar tahap yang dicipta Ronaldo dan Messi, tetapi tahap konsisten ditunjukkan kedua-dua pemain yang mengungguli anugerah pemain terbaik dunia selama sembilan tahun itu.

    “Kekal konsisten di tahap tertinggi adalah segala-galanya,” kata Kane.

    Bos Spurs, Mauricio Pochettino mengakui Real sebagai ujian yang getir buat pasukannya.

    “Sudah tentu ia adalah peluang untuk mengukur diri kami. Kami berdepan pasukan terbaik dunia,” kata Pochettino sambil menambah Kane sebagai antara seorang penyerang terbaik dunia setakat ini.

    “Kami adalah pasukan yang muda dengan begitu banyak latar belakang negara, tetapi tidak mempunyai banyak pengalaman bermain dalam perlawanan seperti ini. Ia jelas ujian yang sukar.”

    Di sebalik peningkatan yang ditampilkan Spurs di bawah kendaliannya, isu konsisten menjadi antara masalah utama buat kelab dari London itu untuk menjulang trofi. Kegagalan Spurs untuk mencetus impak di pentas Eropah dalam Liga Juara-Juara dan Liga Europa membayangi kejayaan mereka musim lalu yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga kedua.

    Dan sekali lagi, ketiadaan Kane yang terlepas hampir separuh saingan musim lalu menjadi antara punca kegagalan Spurs.

    Ini kerana, penyerang itu menjaringkan hampir 55 peratus daripada keseluruhan jaringan Spurs dalam kempen domestik dan Eropah setakat ini.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Kane Idam Seiring Ronaldo "