• Kandungan MA63 Sesuai Dibincangkan Di Persidangan DUN

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+

    Perbincangan mengenai kandungan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) yang dikaji oleh pasukan undang-undang Sarawak ke London Julai lalu lebih sesuai dibincangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, kata Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

    Memetik laporan The Borneo Post, Sharifah Hasidah berkata perbincangan mengenai bagaimana dan mengapa dokumen mengenai Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1963 memerlukan forum dan masa yang sesuai.

    "Persidangan Dewan Undangan Negeri akan menjadi forum yang tepat untuk berbuat demikian," katanya sebagai menjawab dakwaan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang dikatakannya ‘berdiam diri’ mengenai perkara tersebut.

    Tambah Sharifah Hasidah, dokumen-dokumen pembentukan Malaysia untuk mengkaji hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian MA63 tidak menjadi kepentingan negara buat masa ini.

    "Perkara-perkara penting yang dibincangkan dengan kerajaan persekutuan mengenai autonomi Sarawak dan menuntut semula hak-hak kerjaan negeri dalam MA63 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah untuk melindungi kepentingan khas negeri ini," katanya.

    Beliau turut menolak dakwaan pembangkang yang mengatakan kerajaan negeri hanya mengkaji berdasarkan buku (British Documents on the End of Empire) diterbit oleh Institute of Commonwealth Studies di University of London yang mengandungi semua koresponden termasuk pertukaran telegram yang akhirnya membawa kepada pembentukan Malaysia.

    "Misi yang saya pimpin bukan hanya terbatas pada dokumen yang sudah ada dalam buku semata-mata. Tetapi perkara-perkara penting lain yang akan memperkuatkan hak perlembagaan negeri seperti had pelantar benua (continental shelf), penentuan sempadan tanah, laut, perlombongan minyak sebelum dan selepas Hari Malaysia dan fail rahsia milik Sarawak yang dibawa oleh Kerajaan United Kingdom dan disimpan dalam Arkib Negara Britain supaya kerajaan baru tidak dapat mengakses kepada mereka,"

    "Kerajaan negeri telah meminta Arkib Negara Britain untuk membuat salinan dokumen-dokumen ini dan mengesahkan dokumen yang penting. Dokumen-dokumen ini tidak lama lagi akan dihantar kepada Kerajaan Negeri, "katanya.

    Sharifah Hasidah menegaskan beliau akan memberi jaminan kepada pembangkang bahawa apa yang diperolehi dari misi tersebut pasti lebih daripada apa yang terkandunga didalam buku itu.

    "Sudah pasti dokumen-dokumen yang akan diterima oleh kerajaan negeri tidak lama lagi akan mempunyai lebih banyak nilai kebenaran daripada apa yang terkandung di dalam buku seperti yang diperkatakan,"ujarnya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Kandungan MA63 Sesuai Dibincangkan Di Persidangan DUN "