• Kakitangan TNB Ditahan SPRM

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    SEREMBAN: Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditahan, semalam kerana dipercayai menerima rasuah bagi mempercepatkan urusan penyambungan bekalan elektrik sebuah rumah, di sini.

    Suspek lelaki berusia 38 tahun itu, direman tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Sumber memberitahu, tertuduh didakwa meminta RM280 daripada seorang lelaki, kelmarin sebagai balasan untuk mempercepatkan penyambungan bekalan di rumah yang baru dibelinya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang.

    Katanya, pengadu pada 18 September lalu, sudah membuat permohonan penyambungan elektrik dengan bertemu suspek di pejabatnya di bandar ini, namun tiada wakil TNB datang membuat penyambungan.

    "Pengadu yang kehairanan kerana terpaksa menunggu lama mengunjungi pejabat TNB dan bertemu semula dengan suspek, kelmarin.

    "Suspek kemudian dipercayai meminta bayaran RM280 kononnya bagi membolehkan urusan itu dipercepatkan.

    "Pengadu yang tidak berpuas hati membuat laporan kepada SPRM dan suspek ditahan di pejabatnya, petang semalam," katanya, di sini, hari ini.

    Katanya, SPRM turut menemui wang tunai RM280 yang dipercayai diterima oleh suspek daripada pengadu ketika penahanan dibuat. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kakitangan TNB Ditahan SPRM "