• Kaji masalah dadah di sekolah

    Published: Tuesday, 10 October 2017
    A- A+

    KEMENTERIAN Pendidikan diminta kaji semula rancangan pencegahan penyalahgunaan dadah di sekolah, sama ada ia masih beri kesan atau sebaliknya.

    Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, selama ini, kementerian pendidikan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sering mengadakan aktiviti mendidik agar murid-murid menjauhkan diri daripada gejala penyalahgunaan dadah.

    "Berikutan 420 sekolah didakwa berisiko tinggi menghadapi masalah penyalahgunaan dadah yang serius, saya harap semua pihak sama ada kementerian pendidikan ataupun semua pengetua sekolah perlu menyedari kelemahan yang berlaku dan cuba mengatasinya dengan segera," kata Lam Thye kepada China Press.

    Selain itu, katanya, ibu bapa turut memainkan peranan penting dengan memerhati gerak-geri anak-anak mereka bagi memastikan mereka menjauhi masalah dadah.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa jika masalah itu tidak dapat diatasi, ia akan terus berleluasa dan sukar dibendung.

    Nur Jazlan yang juga Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) sebelum ini turut mendedahkan ujian rambang dijalankan terhadap 36,675 pelajar sekolah pada 2015 mendapati 1,475 daripada mereka positif dadah.

    Daripada jumlah itu, 1,075 orang atau 73 peratus positif dadah jenis stimulan amfetamina manakala selebihnya positif dadah jenis kanabis.

    Atasi masalah kekurangan pekerja asing

    Kerajaan sudah merangka pelan menyeluruh bagi mengatasi rungutan pengusaha tempatan yang menghadapi masalah kekurangan pekerja asing.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan mengumumkan pelan berkenaan dalam masa terdekat.

    "Kerajaan sedar dan memandang serius masalah kekurangan pekerja asing di negara kita. Kerajaan telah mempunyai perancangan yang sesuai terutama sekali kepada sektor pembuatan," katanya seperti dilaporkan dalam Sin Chew Daily.

    Menurut Ka Siong, beliau sebelum ini telah bersama dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menguruskan masalah berkenaan dan telah memberi taklimat kepada perdana menteri dan timbalannya.

    "Kira-kira sebulan yang lalu, saya dan Mustapa mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil persatuan pengilang dan syarikat pembuatan untuk berbincang masalah kekurangan pekerja asing ini secara mendalam. Saya percaya pelan penyelesaiannya sudah hampir siap dan akan diumumkan tidak lama lagi," kata Ka Siong.

    Pada Mac lalu, Ahmad Zahid mengumumkan pengambilan pekerja asing baharu kecuali pembantu rumah dihentikan, sekali gus majikan perlu menggaji pekerja asing sedia ada di negara ini, termasuk yang tamat tempoh permit kerja.

    Minta mansuh UPSR segera

    Kerajaan diminta melakukan perubahan drastik dalam dunia pendidikan negara dengan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) secepat mungkin.

    Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Datuk Ong Chiow Chuen berkata, biarpun kementerian pendidikan telah merangka pelan transformasi pendidik negara, namun sehingga hari ini, kerajaan masih belum melakukan perubahan terhadap sistem peperiksaan sehingga hari ini.

    "Kementerian Pendidikan sudah banyak kali mengemukakan cadangan untuk mansuhkan UPSR, tetapi sehingga hari ini belum ada sebarang keputusan muktamad. Semua murid masih berlumba-lumba mencari markah yang tinggi dalam peperiksaan," kata Chiow Chuen seperti dipetik dalam Nanyang Siang Pau.

    Tahun lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu, kerajaan akan memuktamadkan sama ada memansuhkan UPSR atau sebaliknya dengan mengambil kira pandangan ahli akademik tempatan, modul-modul luar negara dan agensi berkaitan selain guru-guru berpengalaman di sekolah.

    “Pada ketika ini, kementerian masih mengkaji cadangan itu (memansuhkan UPSR) kerana penilaian institusi pendidikan di negara membangun seperti di Perancis dan Finland lebih bersandarkan penaksiran berasaskan sekolah termasuk psikometrik, kokurikulum dan sahsiah pelajar," kata Mahdzir.-Sinar

    Subjects:

  • No Comment to " Kaji masalah dadah di sekolah "