• JPN Perjelas Status Woon Seng

    Published: Tuesday, 10 October 2017
    A- A+


    SHAH ALAM: Status kerakyatan seorang lelaki berketurunan India tetapi mempunyai nama Cina terjawab menerusi maklum balas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    Menurut kenyataan JPN di Putrajaya, terdapat kekeliruan fakta pada sijil kelahiran dikemukakan pengadu, Tan Woon Seng, 34.

    Pegawai Perhubungan Awam JPN Putrajaya, Fara Maya Ahmad Jelani menjelaskan, kelahiran Wong Seng didaftarkan di Balai Polis Tanah Merah, Port Dickson pada 6 Disember 1983.

    Berikutan itu, katanya, JPN mengeluarkan sijil kelahiran bertaraf warganegara Malaysia dan Mykad kepada lelaki berkenaan.

    "Bagaimanapun, semasa membuat permohonan pendaftaran perkahwinan di JPN, semakan mendapati terdapat kekeliruan fakta sijil kelahiran dikemukakan pengadu.

    "Kes pengadu itu kemudian disiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSK) JPN Putrajaya. Siasatan kemudian mendapati ibu-bapa angkat lelaki itu telah memberi maklumat palsu dengan mengaku sebagai ibu kandung semasa mendaftarkan kelahiran Woon Seng," katanya.

    Sehubungan itu, katanya, Woon Seng telah mengemukakan permohonan pindaan butiran pada sijil kelahiran dengan mengeluarkan maklumat ibu-bapanya.

    "Beliau kemudian telah dikeluarkan dengan kad pengenalan pemastautin sementara (MyKas) pada 3 Mac 2005," katanya menerusi kenyataan kepada Sinar Harian di sini, semalam.

    Fara Maya menjelaskan, bagi kes anak Woon Seng pula, JPN memaklumkan bahawa penentuan taraf kanak-kanak yang didaftarkan di bawah Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) adalah mengikut taraf warganegara ibu.

    "Oleh demikian, taraf warganegara kanak-kanak itu adalah mengikut ibu kandungnya, iaitu berstatus Indonesia," katanya.

    Pada 2 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan keluhan Wong Seng dari Kampung Baru Site A, Port Dickson yang mendakwa kad pengenalannya diambil pihak berkuasa 16 tahun lalu dan diberi kad pengenalan sementara berwarna hijau, sekali gus menafikan kerakyatan saya sebagai warganegara.

    Selain itu, Woon Seng juga risau apabila anaknya yang kini berusia 11 tahun didaftarkan sebagai bukan warganegara dalam sijil kelahiran.

    Menurutnya, masalah itu mungkin disyaki berpunca nama Cina yang tertera di kad pengenalannya, sedangkan dia berbangsa India menyebabkan pihak berkuasa mengesyaki ia kad pengenalan palsu.

    Woon Seng dijadikan anak angkat sejak usia bayi oleh Tang Kee Kwan (kini mendiang) apabila mendapat tahu keluarga kandung yang tinggal di kawasan berhampiran tidak mahu membesarkannya kerana masalah peribadi.- Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " JPN Perjelas Status Woon Seng "