• Jong-nam: Pembelaan gagal desak pendakwaan dedah identiti empat lagi suspek

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+
    SHAH ALAM - Pasukan pembelaan dalam kes dua warga asing yang didakwa membunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, hari ini gagal mendesak pihak pendakwaan untuk mendedahkan nama "empat orang lagi yang masih bebas", seperti yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan dan dalam ucapan pembukaan pendakwaan.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azmi Ariffin menolak permohonan peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah, 25, dan peguam Hisyam Teh Poh Teik serta Datuk Naran Singh mewakili Doan Thi Huong, 28, dari Vietnam, supaya pihak pendakwaan menyatakan nama empat orang lagi itu.

    Hakim Azmi berkata, pertuduhan itu tidak cacat sungguhpun dengan tidak memasukkan nama empat orang lagi dan tidak berlaku sebarang ketidakadilan kepada kedua-dua tertuduh dengan ketiadaan empat nama itu.

    "Saya dapati tidak ada yang salah dengan pertuduhan ini," kata Hakim Azmi.

    Terdahulu, Hisyam berkata, pendakwaan perlu mendedahkan keempat-empat nama suspek itu untuk pihaknya menyediakan pembelaan.

    "Pendakwaan mempunyai tanggungjawab moral untuk mendedahkan nama-nama itu. Pertuduhan menyatakan bahawa anak guam saya mempunyai niat bersama dengan empat orang lagi yang masih bebas. Pihak pembelaan memerlukan nama-nama itu untuk tujuan pembelaan kami," katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, adalah terlalu awal di peringkat ini bagi pembelaan memohon nama-nama itu oleh kerana pendakwaan akan mendedahkan keempat-empat nama mereka semasa prosiding perbicaraan.

    "Saya memohon mahkamah supaya menolak permohonan ini dan meneruskan dengan perbicaraan," katanya.

    Siti Aisyah dan Doan didakwa bersama-sama empat orang lain yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 9 pagi 13 Feb tahun ini.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Jong-nam: Pembelaan gagal desak pendakwaan dedah identiti empat lagi suspek "