• Jokowi Buat Lawatan Rasmi Ke Kuching Bulan Depan

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+
    Foto Utusan Borneo
    KUCHING: Presiden Indonesia, Joko Widodo, yang dikenali sebagai Jokowi, akan membuat lawatan rasmi pertamanya di sini bulan depan.

    Beliau dijadual berada di bandaraya ini pada 21 hingga 22 November nanti atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengadakan mesyuarat perundingan dua hala antara kedua-dua negara dan juga untuk menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

    Perkara tersebut dimaklumkan Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Jahar Gultom semalam.

    "Presiden kita akan berada di sini untuk acara ini. Segala persiapan telah diatur agar presiden mengadakan sesi dialog bersama 5,000 rakyat Indonesia yang bekerja dan tinggal di Sarawak,” katanya.

    Memetik laporan Borneo Post, menurut Jahar, antara isu yang mungkin dibincangkan oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara adalah berkaitan isu sempadan, khususnya melibatkan tiga pintu masuk sempadan antara Sarawak dan Kalimantan Barat.

    “Saya percaya mesyuarat perundingan dua hala antara Joko dan Najib akan membincangkan isu-isu mengenai perdagangan dan pergerakan merentas sempadan terutama antara Sarawak dan wilayah Kalimantan Barat, Indonesia,” ujarnya.

    Jelasnya, terdapat tiga titik perbatasan Indonesia di Kalimantan Barat untuk dimasuki oleh rakyat Malaysia melalui tanah iaitu Aruk yang melintasi Biawak, Lundu, Entikong (melintasi Tebedu) dan Badau (melintasi Lubok Antu). – Sarawakiana
  • No Comment to " Jokowi Buat Lawatan Rasmi Ke Kuching Bulan Depan "