• 'Jangan palitkan saya' - Zahirah Macwilson

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+


    Kontroversi putus cinta antara Emma Maembong dan Kamal Adli bertambah hangat apabila aktres jelita, Zahirah Macwilson, yang dituduh punca terlerainya ikatan mereka, tampil membersihkan nama.

    Zahirah yang dikatakan menjalin hubungan intim dengan aktor bertubuh sasa, Zul Ariffin, meluahkan perasaan melalui laman Instagram dengan berkongsi paparan skrin perbualannya dengan Kamal berkaitan dengan kisah 'panas' itu.

    "Saya bertemu dengan pasangan ini (Emma dan Kamal) 17 hari lalu untuk menyelesaikan perkara ini...tapi nampaknya, ia jelas belum berakhir.

    "Saya terpaksa muat naik benda ini sebab sudah penat berdiam diri dan dituding jari sebagai punca," luahnya.

    BH Online dalam laporan eksklusifnya menyiarkan pengakuan Emma yang mengesahkan hubungannya dengan Kamal putus.

    Emma mendakwa, dia kini sudah tahu siapa Kamal sebenarnya dan tidak menolak dakwaan Zahirah menjadi punca keretakan hubungan yang terjalin sejak tiga tahun lalu itu.

    Kamal dan Zahirah dikatakan mula rapat selepas membintangi drama Duda Pujaan Dara, yang disiarkan di Astro, baru-baru ini.

    Zahirah yang dilihat cukup beremosi melalui keterangan yang ditulis mengiringi status dimuat naik, kesal dituduh 'orang jahat' dalam kontroversi putus cinta itu.

    "Petik nama orang pandai, 'kencing' (tipu) kekasih pandai, melindungi kesalahan sendiri pada media pandai, kutuk kawan baik pandai. Tapi kalau awak (Kamal) tak boleh jadi profesional, jangan palitkan orang lain pula.

    "Jangan hina nama, kerja dan hidup orang. Jadi matang sikit. Jangan nak perasan lebih. Fokus dekat kerja daripada menjahanamkan imej orang lain.

    "Tak fasal-fasal sebab kerja bangang macam ini, orang lain nampak buruk. Hentikan penceritaan itu semua," katanya.

    Melalui paparan skrin perbualan yang dikongsi, Zahirah mendakwa, Kamal terus 'memetik' namanya hingga membuatkan Emma berfikir bagai ada sesuatu yang terjadi antara mereka (dia dan Kamal) ketika berlakon dalam drama berkenaan.

    Ini termasuklah kononnya Kamal dan Zahirah menonton filem dan berhibur di pusat karaoke bersama-sama.

    Zahirah mendakwa, ketika penggambaran drama terbabit berlangsung, dia banyak memberi tumpuan kepada kerja, bukannya hal remeh.

    Subjects:

  • No Comment to " 'Jangan palitkan saya' - Zahirah Macwilson "