• Jalaluddin Hassan Sedia Berkahwin

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+

    Pelakon Datuk Jalaluddin Hassan, 63, tidak menafikan sedang berkawan dengan seseorang dan bakal menjadikannya pasangan hidup selepas cukup setahun pemergian isterinya, Datin Hasimah Mat Ehsan yang meninggal dunia November tahun lalu.

    Katanya, dia mengenali wanita itu melalui Facebook tetapi pertama kali menegurnya untuk mengucapkan Selamat Berpuasa pada Ramadan lalu.

    "Saya bertemu kali pertama dengannya pada acara rumah terbuka Aidilfitri lalu. Rupa-rupanya abang dia rakan baik saya," katanya.

    Jalaluddin akui bersedia mengahwini wanita berstatus ibu tunggal itu tetapi mahu menunggu biarlah setahun selepas pemergian isterinya.

    Malah katanya, bapanya, Tan Sri Hassan Azhari juga sering menasihatinya untuk berkahwin kerana kasihankan dirinya yang sunyi tanpa teman.

    "Anak-anak juga tidak menghalang untuk saya berkahwin semula kerana sedar saya perlukan seorang isteri pada masa ini.

    "Apa pun, saya memerlukan sedikit ruang sebelum membuat keputusan," katanya.

    Wanita berusia 44 tahun itu dipercayai berasal dari Serkam, Melaka dan mempunyai empat anak hasil perkahwinan sebelum ini.

    Minggu lalu, Jalaluddin dimasukkan ke hospital akibat masalah ‘vertigo’ yang menyebabkan beliau mengalami masalah keseimbangan badan.

    Walaupun dibenarkan keluar hospital untuk berehat pada Rabu lalu, beliau tetap memberi komitmen pada teater Bahara Emas terbitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bakal dipentaskan pada 19 hingga 22 Oktober ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Jalaluddin Hassan Sedia Berkahwin "