• Jajaran Sri Damansara Link Dibuka Tengah Malam Ini

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Jajaran Sri Damansara Link (SDL) Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa Dua akan dibuka kepada umum mulai 12 malam ini .

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jajaran sepanjang 7.4 kilometer itu dijangka menyelesaikan masalah kesesakan di sekitar ibu kota terutama kawasan Jalan Segambut, Jalan Kuching, Rawang dan Kepong.

    “SDL juga akan menambah baik sistem penyuraian trafik sekitar Jalan Lang Emas, Jalan Taman Bukit Maluri, Kepong dan Penchala selain menjimatkan masa kira-kira 10 minit , ” katanya ketika merasmikan jajaran tersebut di sini, hari ini.

    Fadillah berkata dianggarkan 30,000 pengguna akan menggunakan jajaran itu setiap hari.

    Jajaran SDL menghubungkan Persimpangan Bertingkat Manjalara menghala ke Timur untuk berhubung dengan Persimpangan Bertingkat Segambut di Jalan Segambut.

    Fadillah berkata ajaran itu juga dilengkapi kemudahan hentian Rehat dan Rawat yang merangkumi kemudahan tempat meletak kenderaan, plaza tol dan lot komersial.

    “Lebuh raya ini dilengkapi dengan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Segambut dan Plaza Tol Sentul Tambahan dan sebanyak enam lorong disediakan bagi kedua-dua hala, ” katanya.

    Pengguna juga bakal menikmati pengecualian tol selama sebulan bermula tengah malam ini sehingga 22 Nov depan.

    Pembukaan Jajaran SDL melengkapkan projek Lebuhraya DUKE fasa dua yang melibatkan kos sebanyak RM1.183 bilion selepas pembukaan jajaran pertama Tun Razak Link (TRL) 28 Sept lalu. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Jajaran Sri Damansara Link Dibuka Tengah Malam Ini "