• Jabatan Imigresen Buru Majikan Culas

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+

    KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan melancarkan Ops Ikrar mulai bulan depan bagi mengesan majikan yang gagal memperbaharui permit pekerja asing.

    Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata operasi naziran secara bersepadu akan digerakkan di daerah dikenal pasti.

    Katanya, beberapa agensi penguatkuasaan turut terbabit dalam operasi berkenaan termasuk Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    "Ops Ikrar dilancarkan selepas kita dapati ada majikan di Kelantan menggunakan tenaga kerja asing yang mempunyai permit kerja tetapi dibiar tamat tempoh.

    "Tenaga kerja asing itu terus dieksploitasi bekerja tanpa pengetahuan status mereka sudah bertukar menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI).

    "Menerusi Ops Ikrar itu yang berkonsepkan Bekerja Sebagai 1Kerajaan, setiap agensi menguatkuasakan undang-undang dan peraturan termasuk menyenarai hitam majikan daripada menggaji pekerja asing, penutupan premis oleh PBT dan pembatalan pendaftaran syarikat oleh SSM," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Wan Mohammed Saupee berkata, tindakan majikan yang mengeksploitasi pekerja adalah kesalahan serius mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Manusia 2007 (ATIPSOM).

    "Sabit kesalahan, majikan boleh dihukum penjara, denda dan atau sebatan. Pendakwaan juga boleh dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

    "Justeru, majikan diingatkan memperbaharui permit kerja asing pekerja mereka sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tarikh tamat bagi mengelak tindakan dikenakan.

    "Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan kepada majikan seperti capaian sistem dalam talian untuk memperbaharui permit pekerja asing dan pembayaran secara elektronik," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jabatan Imigresen Buru Majikan Culas "