• Itali Arah Duta Baharu Korea Utara Pulang

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+

    ROME: Itali mengarahkan duta baharu Korea Utara meninggalkan negara itu sebagai membantah pelancaran peluru berpandu dan ujian nuklear pemimpinnya, Kim Jong-Un.

    Menteri Luarnya, Angelino Alfano mengumumkan tindakan itu dalam temuramah dengan akhbar harian La Repubblica, diterbitkan hari ini.

    "Kami mengambil tindakan tegas untuk campur tangan dalam prosedur pengesahan, duta itu terpaksa meninggalkan negara ini.

    "Kami mahu Pyongyang memahami bahawa pemulauan itu tidak dapat dielak jika ia tidak mengubah pendiriannya," kata Alfano.

    Alfano bagaimanapun menegaskan, Itali tidak memutuskan hubungan diplomatik 'kerana mengekalkan saluran komunikasi dapat membantu.'

    Korea Utara menamakan pegawai Kementerian Luarnya, Mun Jong-Nam sebagai duta baharu ke bandar ini Julai lalu, mengisi jawatan yang kosong selama lebih setahun, menurut laporan Korea Selatan.

    Diplomat itu sudah mula bertugas di bandar ini, namun belum melengkapkan pendaftarannya dengan pihak berkuasa Itali.

    Tindakan Itali itu ketika masyarakat antarabangsa mula meningkatkan tekanan ke atas rejim Jong-Un supaya menamatkan program senjata nuklearnya.

    China bersetuju mengehadkan eksport minyak dan import tekstil ke negara itu bermula hari ini. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Itali Arah Duta Baharu Korea Utara Pulang "