• Isu SK Pulau Seduku Terbengkalai: SPRM Kumpul Maklumat

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    KUCHING: Isu projek Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku di Lingga, Sri Aman lewat siap, mendapat tumpuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Difahamkan, suruhanjaya berkenaan sudah mula mengumpul maklumat khusus bagi mengenalpasti punca pembinaan gagal disiapkan mengikut jadual, termasuk pihak berkaitan projek berkenaan.

    Sumber SPRM memberitahu BH, proses itu dimulakan sejurus isu berkenaan mendapat liputan meluas media.

    Selain itu, paparan rakaman visual guru dan murid yang terpaksa menempuh ombak besar Sungai Batang Lupar untuk kembali ke sekolah sedia ada di Pulau Seduku, juga viral di laman sosial.

    "Sehingga hari ini, beberapa pihak sudah dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu berkenaan. Kita (SPRM) agak `berminat' dengan kes ini.

    "Pada dasarnya, wujud asas penyelewengan yang kukuh," katanya ketika dihubungi hari ini.

    BH sebelum ini melaporkan 12 guru bersama 26 murid SK Pulau Seduku `bersabung nyawa' hampir setiap hujung minggu mengharungi ombak besar, selain ancaman buaya ketika berulang-alik antara sekolah ke pekan berhampiran.

    Ia antara cabaran dihadapi guru sekolah pedalaman itu serta muridnya dalam memburu ilmu sehingga ada yang terpaksa berpisah dengan ibu bapa seawal usia tujuh tahun dan tinggal di asrama disebabkan kekangan logistik.

    Kisah mereka viral di laman sosial sejak Ahad lalu, termasuk kebimbangan ibu bapa apabila anak mereka terpaksa meredah ribut dan keadaan sungai yang bergelora untuk kembali ke sekolah.

    Pada 2015, Kementerian Pendidikan meluluskan pembinaan sekolah baharu berharga RM8.2 juta bagi menampung keperluan guru dan murid SK Pulau Seduku.

    Ia menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

    Bagaimanapun, pelaksanaan projek berkenaan tertangguh dua tahun disebabkan masalah dihadapi kontraktor, selain dua kali diberikan tarikh akhir untuk disiapkan, masing-masing Januari dan Julai lalu, namun masih gagal.

    Difahamkan, kontraktor terbabit juga berusaha memohon tarikh penangguhan baharu daripada Kementerian Pendidikan sehingga Jun 2018 dengan mengemukakan beberapa alasan yang disifatkan tidak rasional.

    Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pulau Seduku, Datuk Wan Abdillah Adruce Wan Abdul Rahman ketika dihubungi, berkata pembinaan sekolah baharu itu sepatutnya boleh siap dalam tempoh singkat.

    "Kita dimaklumkan peruntukan disalurkan (Kementerian Pendidikan) lebih daripada mencukupi, namun timbul keraguan mengapa masih gagal siap mengikut tempoh sepatutnya.

    "Lebih-lebih lagi fasa pembinaan kini sudah mencecah 90 peratus. Baki projek hanya proses pendawaian, pemasangan jubin, tandas, bumbung dan beberapa infrastruktur asas, selain perincian. Kita tidak tahu apa berlaku, ini perlu disiasat," katanya.

    Wan Abdillah berkata, kegagalan projek berkenaan disiapkan mengikut tempoh ditetapkan adalah penganiayaan kepada guru dan murid berkenaan yang begitu lama menunggu sekolah baharu mereka.

    "Kita khuatir dengan keselamatan mereka yang hampir setiap minggu menempuh ombak deras dan ancaman buaya. Mereka sudah lama dijanjikan sekolah baharu, sampai bila lagi harus mereka menunggu.

    "Biar kita bersuara awal, bukan selepas tragedi. Ini hak anak Pulau Seduku untuk menikmati kemudahan pendidikan yang sempurna, lebih selesa dan selamat.

    "Jika diikutkan, sekolah baharu itu sepatutnya beroperasi pada permulaan sesi persekolahan tahun ini, namun dilanjutkan sehingga Julai lalu. Namun, sampai sekarang masih tidak disiapkan lagi," katanya.

    Difahamkan, guru dan murid berkenaan adalah kumpulan tunggal komuniti di pulau berkenaan yang terletak di tengah-tengah Sungai Batang Lupar.

    Ia selepas seluruh penduduk Kampung Seduku dipindahkan ke penempatan baharu berhampiran Pekan Lingga apabila kawasan terbabit diwartakan sebagai santuari buaya pada 2012.

    Malah, pada waktu tertentu, terutama ketika cuaca panas, terdapat buaya berjemur berhampiran jeti sekolah, selain kawasan padang yang menjadi tumpuan murid melakukan aktiviti riadah dan kokurikulum.

    Info

    - SK Pulau Seduku yang asal dibina pada 1973

    - RM7 juta peruntukan bina sekolah baharu

    - Sungai Batang Lupar juga dikenali dengan lagenda Bujang Senang

    - Pulau Seduku diwartakan sebagai santuari buaya pada 2012
  • No Comment to " Isu SK Pulau Seduku Terbengkalai: SPRM Kumpul Maklumat "