• Isu Rohingnya : Putuskan Hubungan Diplomatik Tindakan Tidak Efisien

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Cadangan sesetengah pihak supaya Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar tidak efisien kerana ia akan hanya mengehadkan peluang untuk negara ini terus menghantar bantuan kepada etnik Rohingya.

    "Jika kita putuskan hubungan diplomatik, bererti ia akan menyempitkan ruang dan keupayaan kita menghulurkan bantuan pada etnik yang ditindas."

    "Begitu juga NGO (pertubuhan bukan kerajaan) juga mungkin tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut," Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata Malaysia akan terus menyuarakan keprihatinan dan desakan di platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membolehkan negara kuasa besar membantu menyelesaikan isu Rohingya.

    Mengenai cadangan supaya kerajaan menarik balik pelaburan dan perdagangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) di Myanmar berikutan isu kemanusiaan etnik Rohingya, Reezal Merican berkata tindakan itu hanya bersifat 'unilateral' dan tidak akan memberi impak besar terhadap isu kemanusiaan itu.

    "Kita telah buat kajian, kalau kita mengambil suatu tindakan yang bersifat unilateral, kadang-kadang ini tidak akan memberi impak yang positif terhadap apa yang kita nak capai," katanya, sambil menambah, apa yang lebih penting pada masa ini ialah usaha Malaysia dalam memberi bantuan terhadap etnik Rohingya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Isu Rohingnya : Putuskan Hubungan Diplomatik Tindakan Tidak Efisien "