• Isu Perumahan, Idea Paling Banyak Dikongsi Rakyat

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+


    SHAH ALAM - Topik perumahan sering diperkatakan oleh masyarakat di negara ini berikutan harga rumah mampu milik semakin sukar didapati kini.

    Dalam cadangan Bajet 2018, isu perumahan dan kehidupan bandar adalah idea paling banyak dikongsi rakyat di laman web https://bajet2018.najibrazak.com.

    Suara rakyat itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    "Setiap kali pembentangan Bajet, topik perumahan antara yang paling tinggi mendapat maklum balas rakyat," tulisnya menerusi akaun Facebook miliknya.

    Sementara itu, antara cadangan yang mendapat paling banyak 'like' di laman web tersebut adalah wujudkan bank khas pinjaman perumahan oleh Ahmad Mahir.

    "Wujudkan bank khas untuk tujuan pembiayaan perumahan dengan mekanisme tertentu bagi mengatasi masalah rakyat yang gagal mendapatkan pinjaman bank konvensional disebabkan isu tertentu.

    "Ini boleh mengurangkan isu lambakan hartanah yang tidak terjual," tulisnya.

    Alif Nazmi pula berpendapat supaya meningkatkan kadar gaji minimum dari RM900 hingga RM1,500 sebulan.

    "Ini kerana, kadar gaji dan kos kehidupan tidak stabil sama sekali manakala harga rumah juga perlu dikawal terutama di kawasan bandar.

    "Harga yang terlampau tinggi sedangkan gaji minima terlampau rendah, sampai bila rakyat tidak akan ada rumah sendiri jika harga melambung tinggi tanpa kawalan ketat oleh pihak kerajaan," tulisnya.

    Bagi Nazrul Amir pula, dia mencadangkan supaya dikecualikan duti setem untuk rumah pertama bernilai kurang RM400,000.

    "Dalam bajet 2017, kerajaan telah mengecualikan duti setem untuk rumah pertama berharga RM300,000 ke bawah dan diskaun RM5,000 untuk harga rumah RM300,000 hingga RM500,000.

    "Saya mencadangkan agar kerajaan meneruskan pengecualian ini dengan menambah julat harga rumah untuk pengecualian duti setem bagi rumah pertama bagi menggalakkan pembelian rumah terutamanya dalam kalangan belia," tulisnya.

    - Sinar Online

    Subjects:

  • No Comment to " Isu Perumahan, Idea Paling Banyak Dikongsi Rakyat "