• ‘Isteri’ Sama Jenis Di Indonesia

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+


    JEMBER – Seorang lelaki terkejut besar selepas mengetahui ‘wanita’ yang dikahwininya beberapa bulan lalu sebenarnya seorang lelaki.

    Media tempatan melaporkan, M Fadholi, 21, berkahwin dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Ayu Puji Astutik, 23, dalam satu majlis yang meriah pada 19 Julai lalu.

    Pernikahan itu didaftarkan di Pejabat Urusan Agama (KUA) di Ajun selepas pasangan berkenaan mengemukakan borang berkahwin dan dokumen pengenalan diri.

    Pasangan itu tinggal bersama di Dusun Plalangan, Desa Glagahwero dan Ayu juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan termasuk sering hadir program di masjid.

    Bagaimanapun, baru-baru ini tersebar berita bahawa Ayu adalah seorang lelaki selepas ada pihak membuat aduan kepada KUA.

    Pihak KUA yang terkejut dengan aduan berkenaan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

    Ketika disoal siasat polis kelmarin, Ayu mendakwa dia memang dilahirkan sebagai perempuan tetapi jantinanya berubah selepas berkahwin.

    “Tidak lama selepas berkahwin dengan Fadholi saya bermimpi ada telur jatuh dan makhluk halus. Apabila terjaga saya dapati alat sulit saya bertukar,” katanya.

    Namun, selepas didesak Ayu akhirnya mengaku dia memalsukan kad pengenalan dirinya semata-mata untuk berkahwin dengan Fadholi.

    Sementara itu, Fadholi enggan memberitahu sama ada Ayu adalah lelaki atau perempuan tetapi berkata, dia malu dengan perkara itu.

    “Saya benar-benar terkejut. Sebelum ini biasa sahaja tetapi kalau benar dia lelaki tulen, saya akan ceraikan dia,” jelasnya. – Agensi/myMetro Online

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Isteri’ Sama Jenis Di Indonesia "