• Israel sedia berperang dengan Iran

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+


    TOKYO: Israel sedia mengambil tindakan ketenteraan untuk memastikan Iran tidak akan memiliki senjata nuklear, kata Menteri Perisikannya, Yisrael Katz, semalam di Jepun.

    Katz berada di Jepun bagi meminta sokongan kepada tindakan keras Presiden Donald Trump ke atas Tehran.

    Pada 31 Oktober lalu, Trump berkata beliau tidak menjamin Iran mematuhi perjanjian membatalkan program nuklearnya, yang ditandatangani bekas Presiden Barack Obama, membuka ruang selama 60 hari bagi Kongres untuk bertindak mengenakan semula sekatan.

    "Jika usaha antarabangsa yang kini diketuai Trump tidak membantu menghentikan Iran daripada membina senjata nuklear, Israel sendiri yang mengambil tindakan ketenteraan.

    "Ada perubahan yang boleh dibuat pada perjanjian untuk memastikan Iran tidak akan dapat memiliki senjata nuklear," kata Katz dalam temubual di Tokyo.

    Israel mengambil tindakan sehala pada masa lalu tanpa persetujuan sekutu utamanya, Amerika Syarikat, termasuk serangan udara ke atas lokasi disyaki reaktor nuklear di Syria pada 2007 dan Iraq pada 1981.

    Serangan ke atas Iran, bagaimanapun, adalah risiko dengan potensi mencetuskan serangan balas dan mengganggu pasaran kewangan.

    Namun, ancaman serangan Israel itu mengumpulkan sokongan di AS bagi mengetatkan perjanjian nuklear tetapi ia juga boleh mengundang bahaya dengan menggalakkan puak konservatif di Iran dan meluaskan perbalahan antara Washington dan sekutu Eropah. - REUTERS

    Subjects:

  • No Comment to " Israel sedia berperang dengan Iran "