• Insentif Kepada Nelayan Guna Pelabuhan Perikanan Tanjong Bako

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+


    KOTA SAMARAHAN : Nelayan di daerah Kuching dan kawasan berhampiran digalakkan menggunakan Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjong Bako di sini, bagi mendapatkan insentif pendaratan ikan yang disediakan bermula hari ini.

    Pengerusi LKIM, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, insentif tersebut bagi menggalakkan nelayan dan pengusaha bot mendaratkan ikan di pelabuhan yang terbesar di negara ini, malah tercanggih di Asia Tenggara.

    “Setiap pendaratan khususnya penangkapan ikan bagi nelayan zon C2 diberikan insentif sebanyak 20 sen bagi 1 kilogram (kg) dan zon C ke bawah 10 sen bagi 1 kg.

    “Kita mahu jadikan pelabuhan ini aktif dengan pengoperasian digerakkan oleh Persatuan Nelayan Negeri Sarawak dan dipantau bersama LKIM,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjong Bako pagi ini.

    Yang turut hadir, Ketua Pengarah LKIM, Datuk M. Saedon Ab. Majid dan ahli-ahli lembaga LKIM.

    Pelabuhan Tanjong Bako bernilai RM247.8 juta apabila siap sepenuhnya dijangka mampu meningkatkan pendapatan para nelayan tempatan yang memenuhi piawaian Kesatuan Eropah.

    Secara keseluruhan pembinaan pelabuhan itu hampir siap 100 peratus yang mana pertemuan bersama semua persatuan nelayan dan pengusaha bot sedang dijalankan bagi mengoptimumkan penggunaan kemudahan di situ. - UtusanOnline
  • No Comment to " Insentif Kepada Nelayan Guna Pelabuhan Perikanan Tanjong Bako "