• Indonesia Perketat Sempadan Bebas Pengaruh Pengganas

    Published: Friday, 20 October 2017
    A- A+


    HANOI – Pihak berkuasa Indonesia mengetatkan kawalan keselamatan di beberapa kawasan bersempadan dengan Filipina dan di pejabat kedutaan negara itu di Jakarta, susulan Manila mengisytiharkan bandar Marawi bebas daripada pengaruh pengganas, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

    Ketua Polis Kebangsaan Indonesia, Tito Karnavian berkata pada Khamis, kematian Isnilon Hapilon dan Omarkhayam Maute serta pembebasan kota Raqqa di Syria daripada penguasaan Daesh, memberikan tekanan kepada rangkaian militan berkenaan.

    Karnavian memberi amaran, dengan kira-kira 100 lagi saki baki anggota pengganas yang masih terdapat di selatan Filipina, mereka akan berusaha melarikan diri.

    Terdapat segelintir pengganas di Syria dan Marawi terdiri rakyat Indonesia, katanya pada satu sidang akhbar.

    Pada Selasa, Presiden Filipina Rodrigo Duterte, mengisytiharkan Marawi bebas daripada cengkaman pengganas, selepas 148 hari berjuang melawan militan di negara itu.

    Agensi berita antarabangsa melaporkan, menurut tentera Filipina, militan kelahiran Malaysia, Mahmud Ahmad berkemungkinan besar terbunuh dalam pertempuran pada Khamis, yang turut mengorbankan 13 pemberontak.

    Menurut laporan itu, bekas pensyarah universiti itu dipercayai berperanan penting dalam membiayai gerakan militan di Marawi yang dikepung sejak hampir lima bulan lalu. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Indonesia Perketat Sempadan Bebas Pengaruh Pengganas "