• Indonesia Haram Unsur LGBT Dalam Siaran TV

    Published: Friday, 20 October 2017
    A- A+


    JAKARTA – Ketika negara jirannya ‘bergelut’ tekanan puak Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) konon kebebasan atas nama hak asasi manusia, Indonesia pula lebih bertindak tegas!

    Terbaharu selepas berjaya menghapuskan emoticon atau imej berbaur LGBT menerusi aplikasi WhatsApp dan menyekat akses kepada laman popular Tumblr kerana mempromosikan pornografi, kali ini pula siaran televisyen.

    Media antarabangsa melaporkan, Parlimen Indonesia mempertimbangkan undang-undang nasional yang akan mengharamkan kandungan berunsur LGBT disiarkan menerusi saluran televisyen menjelang akhir tahun ini.

    Menurut laporan, keputusan ini diambil selepas sebuah rancangan komedi ditayangkan sebulan lalu, dipercayai mengandungi unsur LGBT apabila ada babak pelakon lelaki berpakaian dan berkelakuan jelas seperti wanita.

    Malah, penerbit rancangan komedi itu telah mendapat surat amaran daripada bahagian penyiaran bahawa kandungan unsur LGBT itu melanggar piawaian dan etika dalam penyiaran.

    Menurut berita yang dilaporkan lagi, bahagian penggubal undang-undang akan mengkaji semula undang-undang penyiaran untuk memansuhkan kandungan yang mempunyai unsur LGBT.

    Tegasnya, rancangan dan iklan yang menunjukkan tingkah laku “lesbian, homoseksual, biseksual dan transgender” akan diharamkan.

    “Pengharaman itu termasuklah drama yang mempunyai watak gay, persembahan tradisonal rakyat atau komedi dengan menunjukkan watak lelaki lembut dan siaran yang menyokong kehendak LGBT,” jelasnya.

    Sementara itu, Bobby Rizaldi, anggota Parlimen yang terlibat dalam merangka undang-undang tersebut berkata LGBT bukanlah satu jenayah.

    Akan tetapi, unsur-unsur sebegini telah memasuki ruang awam dan ditayangkan kepada orang ramai. Maka, unsur-unsur sebegini haruslah disekat.

    Ahli Parlimen yang lain, Hanafi Rais berpendapat LGBT adalah sesuatu yang luar dari norma manusia.

    “Ia akan merosakkan generasi muda kita. Sekiranya kandungan itu tidak mempunyai kualiti pendidikan dan hanya digunakan untuk kepentingan komersil atau pengiklanan, kita mesti menolaknya,” ujar beliau.

    Walau bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk sekeras-kerasnya terhadap tindakan ‘anti-gay’ Indonesia dengan menjustifikasi tindakan mereka sebagai melanggar undang-undang antarabangsa. - MYNEWSHUB

    Subjects:

  • No Comment to " Indonesia Haram Unsur LGBT Dalam Siaran TV "